Pertarungan ‘Atuk BN’ Lawan ‘Cucu PN’ Di DUN N.20 Semarang
Ayer Hitam yang berada dalam DUN N.20 Semarang menjadi perbualan hangat anak-anak muda yang membesar di kawasan itu dan ramai terpaksa berhijrah keluar demi perkembangan ekonomi yang lebih baik.
Sebelum ini, DUN N.20 Semarang disandang Datuk Samsol Bari Jamali untuk beberapa penggal dan kali ini, beliau berdepan dengan tiga lawan lain yang ada di antara mereka adalah pemimpin muda.
Berdasarkan pemerhatian semasa dengan mengambil contoh pekan Ayer Hitam dan kawasan sekitarnya, ramai anak-anak muda berhijrah ke bandar-bandar lain untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.
Maka di DUN N.20 Semarang itu, yang banyak tinggal adalah golongan yang berpangkat ayah-ayah, ibu-ibu, atuk-atuk serta nenek-nenek.
Kesemua golongan yang berpangkat di atas sudah mencapai tahap kehidupan masing-masing semasa usia muda namun bagi anak-anak mereka, banyak yang tertinggal kerana peredaran masa.
Misalnya dari segi rangkaian telekomunikasi, jika berada di pekan Ayer Hitam, rangkaiannya agak bagus namun memasuki kawasan kampung-kampung, baik Celcom atau Maxis, semuanya tak dapat dicapai.
Keadaan ini menyukar anak-anak muda DUN N.20 bersaing dengan anak-anak muda di kawasan yang baik rangkaian telekomunikasinya untuk menjalankan perniagaan atas talian misalnya.
Terpaksa lari keluar pekan, duduk di atas jambatan atau di tepi-tepi jalan bagi mencari satu bar rangkaian sama ada untuk berWhatsapp atau membuka media sosial bagi mendapatkan maklumat terkini.
Bagi sesetengah kawasan yang sudah boleh lakukan pemasangan fiber untuk data dan intenet, ia satu berita baik namun terpaksa diakui masih banyak kawasan lain yang belum menerima manfaat ini bertahun-tahun.
Dari segi keinginan untuk melakukan riadah dan aktviti bersama keluarga, Ayer Hitam sepatutnya menjadi hub kepada aktiviti bersifat sosial, warisan dan perniagaan.
Namun Ayer Hitam cuma ada taman kecil berdekatan Pasaraya SW Guan Seng dan taman ini lebih popular dikenali sebagai ‘taman skodeng’ kerana imejnya yang tidak terjaga dan tiada pembaharuan.
Dalam masa yang sama, Ayer Hitam adalah pusat utama di antara laluan Kluang serta Batu Pahat dan kemunduran ekonomi tidak seharusnya terjadi di Ayer Hitam.
Dek kerana kurangnya kecaknaan terhadap aspek-aspek lokaliti, orang Ayer Hitam sendiri terpaksa mencari peluang ekonomi di Parit Raja misalnya demi survival harian.
Sekiranya diperhatikan dengan pemikiran usahawan jangka masa panjang, Ayer Hitam sebenarnya sudah lama boleh bertukar wajah menjadi pusat ekonomi utama di antara Kluang dan Batu Pahat.
Namun disebabkan anak-anak muda terpaksa berhijrah keluar kerana tiada peluang-peluang di atas, majoriti di antara mereka enggan pulang mengundi kerana pelbagai faktor.
Maka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di DUN N.20 Semarang kali ini, sekiranya anak-anak muda merancang untuk membina kehidupan dengan niat mahu melihat ibu ayah di depan mata, perubahan perlu ada.
Begitu juga ibu bapa yang mahu anak-anak pulang dan bekerja di Ayer Hitam atau dalam DUN N.20 Semarang dengan niat mahu melihat anak-anak sebelum menghembuskan nafas terakhir, perubahan perlu dibuat.
DUN N.20 Semarang dalam PRN Johor kali ini akan menyaksikan pertarungan di antara ‘Atuk BN’ dan ‘Cucu PN’ misalnya serta lain-lain calon yang turut bertanding.
Shazani A. Hamid, calon nombor tiga dari Perikatan Nasional (PN) misalnya merupakan generasi muda original yang sememangnya membesar di pekan Ayer Hitam.
Menerima pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Menteri dan kebolehan berbahasa Mandarin misalnya menjadi daya pengukuh untuk menjadi calon muda yang relevan.
Di samping penglibatannya dengan parti politik sebelum ini dan meneruskan legasi perjuangan ayahnya, A. Hamid, Shazani dikelilingi pemain-pemain politik yang cukup berpengalaman.
Dalam erti kata lain, Shazani bukanlah calon luar dan relevan dalam melihat isu semasa untuk satu perubahan yang perlu apabila ‘peluang’ serta ‘kepercayaan’ itu diberikan seikhlas hati oleh pengundi kelak.
Maka keputusan untuk membuat pilihan itu terpulang semula kepada warga DUN N.20 Semarang selepas pertimbangkan tulisan daripada seorang anak muda yang terpaksa berhijrah dengan meninggalkan keluarga.
Kredit: Ruzaiman Hanafi
➡️ Sertai Group Telegram Ayer Hitam Di Hati