Auto TravelBerita Auto

Pertandingan pacuan empat roda RFC 2023 Grand Final gegar bumi Perak

KIRA-KIRA 150 jentera pacuan empat roda telah dilepaskan pada Majlis Pelepasan Peserta RFC Grand Final kali ke-26 yang disempurnakan oleh YB Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak.

Majlis ini menjadi mercu tanda bermulanya pertandingan pacuan empat roda yang berjaya memperkenalkan Malaysia di mata dunia sehingga dinobatkan tempat ke-3 daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race.

Penganjuran RFC Grand Final di Perak ini merupakan kali kedua diadakan setelah kali pertama pada 2004. Setiap tahun, RFC Grand Final dianjurkan di negeri- negeri terpilih semasa musim hujan monsun di hujung tahun dan berjaya menarik pasukan, penggemar dan pengunjung dari Malaysia dan tidak kurang dari 25 negara asing.

Tahun ini, RFC Grand Final akan disertai kira-kira 300 peserta dan wakil media tempatan dan antarabangsa seperti Russia, Mongolia, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, India, Sri Lanka, Thailand, Jepun, Italy, Filipina, Indonesia.

Sepanjang 26 kali penganjurannya, acara tersebut telah mencapai kejayaan dalam membantu mengharumkan nama negara di mata dunia dan seterusnya mencapai objektif mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan sukan terutamanya sebagai destinasi penganjuran kejohanan sukan permotoran lasak bertaraf antarabangsa.

Pada tahun ini, RFC Grand Final akan bermula dengan acara Prologue pada 2 dan 3 Disember di sekitar Bulatan Sultan Azlan Shah dan kemudiannya melalui laluan- laluan hutan dan kawasan pedalaman di sekitar Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Lenggong, sebelum kembali ke Ipoh untuk majlis penutup pada 11 Disember.

Selain itu, buat julung kalinya RFC Grand Final akan menganjurkan Ms RFC, iaitu pertandingan 4×4 ekstrim khusus untuk wanita yang bertujuan untuk menggalak, dan memperkasa golongan wanita untuk menceburi cabaran sukan lasak seperti kaum lelaki.

Ms RFC akan disertai oleh 16 peserta tempatan yang akan diuji ketahanan fizikal dan mental mereka melalui kemahiran memandu kenderaan 4×4 di laluan berhalangan yang direka khas dalam had masa yang ditetapkan.

Program tahun ini juga akan diserikan persembahan daripada Adam John & Tebabo Band yang akan mendendangkan lagu rasmi RFC berjudul “Time Will Tell” pada majlis pelepasan peserta, di samping persembahan artis terkenal SonaOne dan penampilan istimewa personaliti TV Daphne Iking pada majlis penutup Ms RFC.

Terdapat juga program sampingan di sekitar Bulatan Sultan Azlan Shah sempena acara Prologue seperti gerai pameran dan jualan cenderamata RFC, pertunjukan kenderaan pacuan empat roda serta banyak lagi. – SM

Artikel berkaitan > PM imbau kembali kenangan melancarkan edisi sulung RFC pada tahun 1997 di Dataran Merdeka

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button