Perpustakaan tetap relevan walau bersaing teknologi terkini – Raja Muda
RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dengan kepesatan dan percambahan maklumat hari ini telah mencetuskan pelbagai idea baharu merekabentuk gajet-gajet terkini.
Baginda bertitah, pencarian maklumat cara konvensional telah dianggap ketinggalan tetapi jika diamati secara mendalam, ia masih relevan.
Titah Baginda, begitulah juga dengan perpustakaan yang tetap relevan walaupun pelbagai teknologi terkini telah tercipta seperti bacaan melalui e-book dan sebagainya.
“Namun perpustakaan tetap boleh menggunapakai platform-platform ini sebagai sebahagian daripada komponen maklumat dalam usaha untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan “Pesta Buku Perlis Dan Karnival Pembaca 2022” di Ruang Pinjaman Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis di Kangar, petang semalam.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Salasiah Abdul Wahab dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Azizi Janan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pada majlis berkenaan merupakan satu lagi bentuk usaha dalam meningkatkan penguasaan membaca masyarakat dan mendidik masyarakat supaya terus cintakan ilmu pengetahuan.
“Program ini juga boleh dijadikan contoh atas usaha yang dilakukan oleh perpustakaan sejak sekian lamanya, ” titah Baginda.
Baginda percaya, atas impak yang tinggi bukan sahaja kepada perpustakaan, tetapi kepada semua pihak telah menyebabkan Pesta Buku ini dianjurkan saban tahun.
“Pada tahun 2020 yang lalu, difahamkan seramai 28,568 pengunjung telah hadir ke Pesta Buku dan Karnival Buku Perlis sama ada untuk mendapatkan bahan bacaan ataupun menyertai aktiviti sama ada dari dalam atau luar Perlis.
Tuanku Raja Muda turut mengucapkan syabas kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis atas usaha yang telah dilaksanakan sepanjang tahun dengan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada semua golongan masyarakat tanpa meninggalkan mana-mana golongan dan berharap seluruh masyarakat dapat mengambil peluang untuk bersama-sama melibatkan diri dalam program-program galakan membaca anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang memberikan manfaat kepada kita semua.
Dengan suasana baharu perpustakaan yang telah ditambah baik, lebih kondusif dan selesa, baginda percaya perkara ini juga menjadi faktor pendorong masyarakat ke perpustakaan bertepatan sekali dengan slogan “Sejenak di Perpustakaan, Selautan Ilmu Pengetahuan”.
Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan meluangkan masa melawat gerai pameran dan aktiviti serta melawat ‘My Mobile Planetarium’ yang disediakan oleh pihak penganjur. – SM