Permohonan Pas Sempadan melonjak: Kaunter JIM UTC diserbu
TIDAK sabar lagi hendak masuk ke Thailand. Begitulah gelagat warga tempatan setelah hampir dua tahun tidak dapat melayan akvititi kebiasaan berkunjung ke negara jiran itu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sejak pengumuman kerajaan penggunaan semula Pas Sempadan mulai 5 Mei lalu, masing-masing tidak membuang masa lagi untuk memohon Pas Sempadan.
Jadi tak hairanlah, kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis menjadi tumpuan.
Pada awal pengumuman jumlah yang datang memohon Pas Sempadan masih kecil tetapi sejak semalam mula meningkat berkali ganda.
Jurucakap JIM Perlis berkata, pada 5 Mei sebanyak 51 Pas Sempadan dikeluarkan dan 6 Mei pula 40.
Bagaimanapun katanya, sehingga petang semalam (9 Mei) sebanyak 127 Pas Sempadan dikeluarkan.
“Pertambahan ini dilihat begitu mendadak sekalipun pqda hari bekerja dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini hanya UTC Sena Kangar yang mengeluarkan Pas Sempadan untuk rakyat Perlis.
Tinjauan SUARA MERDEKA mendapati orang ramai mula menyerbu masuk sejak kaunter dibuka 8 pagi lagi.
Proses untuk melengkapkan keperluan dokumen tidak lama cuma kakitangan memberikan tempoh selama sejam untuk menunggu Pas Sempadan disiapkan.
Bagaimanapun akibat permohonan Pas Sempadan yang meningkat berganda ini membuatkan masa menunggu menjadi lebih lama.
Orang ramai dilihat tetap menunggu dengan tenang sekalipun sehingga empat jam atau lebih.
Kebanyakan yang memohon Pas Sempadan ini rata-ratanya kaum Cina.
Salah seorang yang ditemui memberitahu, kaum Cina suka ke seberang untuk makan-makan.
“Rakan saya sudah pun berada di Thailand sebaik sahaja permohonan Pas Sempadan siap,” katanya. –
SM