PERBICARAAN kes hasutan Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris ditetapkan selepas empat hari bermula Julai selepas representasi dikemukakan bekas Exco Pemuda UMNO itu untuk menggugurkan pertuduhan ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).
Memetik laporan BERNAMA, perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan hari ini kepada Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali pada prosiding sebutan bagi mengetahui status representasi yang dikemukakan Papagomo, 41, pada 5 April lalu.
“Berhubung representasi dikemukakan tertuduh pada 5 April lepas, arahan yang diterima daripada AGC pada pagi ini adalah untuk meneruskan kes. Representasi tertuduh ditolak,” kata Deepa.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh berkata, pihaknya menyerahkan beberapa dokumen berkaitan perbicaraan kepada pihak pembelaan dan memohon tarikh pengurusan kes dalam masa sebulan bagi menyerahkan baki dokumen.
Peguam Logen Eskander Abdullah yang mewakili Wan Muhammad Azri mengesahkan perkara itu.
Sehubungan itu Siti Aminah berkata kes akan diteruskan dengan perbicaraan pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini pada 11, 12, 29 dan 30 Julai, serta menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 4 Julai ini.
Pada 8 Jan lepas Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan, pro kepada Israel dan Barat di laman Facebook.
Dia didakwa menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ dan kata-kata itu dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 1 tengah hari, 8 Nov tahun lepas.
Pendakwaan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – SM