Perlis tumpu kaedah kurangkan risiko bencana alam – Hasnol Zam Zam
Jawatankuasa Bencana Perlis lebih menumpukan kepada kaedah pengurangan risiko supaya segala bentuk bencana alam akan dapat diminimunkan.
Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, jawatankuasa yang dipengerusikannya itu mengenalpasti terlebih dahulu tempat yang berisiko tinggi itu.
“Jadi sejak Ogos lalu kita telah melakukan langkah awal bagi memastikan hal berkaitan banjir umpamanya melakukan pembersihan sungai dan terusan serta melebarkannya jika didapati ada keperluan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Apreasasi Rakan Strategik Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di Dewan Serbaguna Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat, Kangar.
Hadir sama Pengarah Perhutanan Negeri, Ag Shaffie Ag Ahmadni.
Hasnol Zam Zam berkata, sebagai langkah bagi menangani risiko tanah runtuh di musim hujan ini, pihaknya telah mengarahkan jabatan dan agensi berkenaan untuk melakukan rondaan.
“Rondaan ini akan dilakukan dengan lebih kerap pada kawasan yang telah dikenalpasti
sebagai berpotensi kepada risiko ini,” katanya.
Sementara itu dalam ucapannya, Hasnol Zam Zam memuji usaha Jabatan Perhutanan melaksanakan program Communication, Educational and Public Awareness (CEPA) sebanyak 42 kali iaitu melepas sasaran di sepanjang tahun ini.
Katanya, pengisian program CEPA yang melibatkan ceramah, penanaman pokok dan pembersihan pantai ini hanya menyasarkan empat kali saja dalam setahun.
Hasnol Zam Zam berkata, sebanyak 30 tadika KEMAS di seluruh negeri ini telah menyertai pertandingan mewarna Sempena Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Perlis sebagai langkah awal memupuk sayangi hutan pada generasi pelapis.
Pada pertandingan ini, adik Nur Aisyah Humairah Mahadzir, 4 dari Tadika KEMAS Kampung Pondok muncul sebagai pemenang pertama pertandingan mewarna sempena Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Perlis.
Anak sulung dari dua adik-beradik ini menerima sijil, beg dan hamper daripada Hasnol Zam Zam.
Selain itu Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga menerima penghargaan atas membantu Jabatan Perhutanan termasuk Perlis Climber, Hikers Perlis, Perlis Nature & Wild, Trash Hero, Komuniti Bukit Jernih dan Kaki Bukit. – SM