Negeri

Perlis tuan rumah sambutan ulang tahun Askar Wataniah kebangsaan

Negeri Perlis telah buat julung kalinya dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah (HUT AW) ke-66 Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung bermula pada 29 sehingga 30 Jun 2024 yang akan datang di sekitar negeri ini.

Sambutan ini juga diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Raja Perlis yang ke-81 dan juga kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang rancak berlangsung.

Pelbagai aktiviti akan diadakan termasuklah forum berjudul ‘Whole Of Government Whole Of Society (WOGOS), majlis makan malam, sukan antara rejimen, sesi sukan golf dan woodball, lawatan ke tempat-tempat menarik di Perlis serta beberapa aktiviti lain lagi.

Kemuncaknya ialah Perbarisan yang akan diadakan di Kem Bukit Keteri pada pagi 28 Jun 2024.

Rejimen 504 Askar Wataniah sebagai urusetia setempat telah menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi bagi memastikan persediaan bagi sambutan yang merupakan acara tahunan ini berada pada landasan dan garis masa seperti yang dirancang.

Lebih daripada 1,000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Tentera Darat Malaysia khususnya Askar Wataniah akan berada di Perlis dalam tempoh tersebut.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menzahirkan rasa sukacita atas pemilihan Perlis sebagai tuan rumah pada kali ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berharap agar para tetamu yang hadir akan menikmati keunikan negeri ini dan membawa pulang seribu satu kenangan yang manis.

Demikian titah Tuanku Pemangku Raja Perlis selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kem Bukit Keteri baru-baru ini.

Para asnaf yang terpilih menerima wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi menampung keperluan harian masing-masing. Baginda berkenan untuk menyampaikan sumbangan tersebut kepada Khalijah Hashim, 71 tahun dari Kampung Kubang Mempelas, Aznita Kasim, 49 tahun dari Kampung Seri Berangan dam Shah Tipah Che Din, 62 tahun juga dari kampung yang sama.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button