Perlis tambah jemaah solat Jumaat dan lima waktu, Selangor tangguh hingga 30 Jun
PERLIS membenarkan tambahan jemaah bagi solat Jumaat dan solat lima waktu, mulai 5 Jun.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah berkenan langkah itu setelah mengambil kira soal pelaksanaan syiar dan syariat berserta dengan maqasid agama, dalam menjaga nyawa dan kesihatan
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah tambahan jemaah solat Jumaat dipertingkatkan kepada 30 orang, manakala solat lima waktu dipertingkatkan kepada 12 orang.
“Bagi solat Jumaat, jumlah tersebut berkemungkinan ditambah pada Jumaat-Jumaat berikutnya secara berperingkat, berdasarkan kepada pemakluman MAIPs dari semasa ke semasa, mengambil kira ketetapan terkini pihak Kerajaan Malaysia.
“Bagi solat lima waktu dua orang petugas PDRM yang menjalankan tugas mengawal turut diberikan kebenaran untuk turut serta menunaikan solat, jika keadaan terkawal,” titah baginda.
Pemilihan jemaah bagi kedua-dua solat itu, akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid, dengan mengambil kira lokaliti setempat, dalam sesuatu kariah.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan bersama, kelayakan jemaah yang dibenarkan hadir setelah dipilih, hendaklah melengkapi syarat iaitu tidak mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak dan selsema.
Selain itu, mereka juga tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan serius lain yang berisiko, seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, tidak mempunyai sejarah perjalanan ke tempat yang disenaraikan terlarang, rentas negeri dari zon merah, dan tiada kontak rapat dengan individu yang dijangkiti wabak COVID-19.
Setiap jemaah yang hadir, diwajibkan untuk melaksanakan kelaziman baharu seperti membuat pemeriksaan suhu badan di tangga masjid, sanitasi tangan, dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran, bagi tujuan penjejakan sosial.
Jemaah juga hendaklah melaksanakan jarakan sosial, termasuk semasa solat (sekurang-kurangnya dua meter), memakai pelitup separuh muka termasuk ketika menunaikan solat, dan mestilah berwuduk terlebih dahulu, sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri.
Selain itu, jemaah tidak boleh melakukan kontak fizikal seperti berjabat tangan dan berpelukan di masjid, sama ada sebelum atau selepas solat, serta terus beredar setelah selesai solat.
Tempoh had masa bermula azan hingga selesai solat dibenarkan adalah solat Jumaat adalah 15 minit, dan solat lima waktu 10 minit, dengan keutamaan solat dilaksanakan di kawasan yang lebih terbuka, seperti di anjung masjid.
Aspek penjagaan kebersihan kawasan masjid seperti melakukan penyahkuman, hendaklah diberikan perhatian oleh pihak masjid demi menjaga keselamatan dan kesihatan jemaah, selain memastikan segala peraturan ditetapkan dilaksanakan dengan sebaiknya.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pelanggaran pada mana-mana peraturan boleh menyebabkan kebenaran dan kelonggaran berkenaan ditarik semula, demi kepentingan bersama.
“Langkah berjaga-jaga bukan hanya dipraktikkan di masjid, namun hendaklah menjadi amalan secara menyeluruh, sepertimana yang ditetapkan oleh pihak berwajib. Pencapaian yang diperoleh selama ini, bukanlah satu alasan untuk kita mengambil mudah, malah ia adalah merupakan satu fardu ‘ain’ untuk bertanggungjawab menjaga nikmat kesihatan dan kesejahteraan yang telah Allah kurniakan,” titah baginda.
Sementara itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, penangguhan solat Jumaat, solat lima waktu di masjid, surau di negeri itu untuk orang awam dilanjutkan sehingga 30 Jun.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, semakan semula penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu untuk orang awam akan dibuat selepas minggu pertama Jun.
Menurut beliau, larangan mengerjakan solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau itu adalah satu keputusan yang amat sukar dan berat bagi baginda untuk memutuskannya.
“Baginda memahami keluh-kesah rakyat jelata yang tidak dapat menunaikan ibadat di masjid selama tempoh 12 minggu setakat ini. Namun, keputusan ini terpaksa dikeluarkan demi memastikan penularan jangkitan wabak berbahaya COVID-19 dapat dibendung dan dikawal.
“Sultan Selangor sentiasa memantau rapat data-data terkini penularan wabak COVID-19 termasuk kes-kes baharu jangkitan di Selangor yang menunjukkan aliran penurunan,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada Isnin.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menitahkan tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla di Selangor dilanjutkan sehingga 31 Mei.
Sultan Sharafuddin juga bertitah agar solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor dan hendaklah dilakukan di rumah masing-masing.
Sultan Sharafuddin sebelum ini turut berkenan untuk membenarkan solat Jumaat dan solat Aidilfitri diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (masjid negeri), Masjid Diraja dan Masjid Daerah pada pertengahan Mei.
Bagaimanapun hanya ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan imam saja yang dibenarkan iaitu seramai tiga hingga maksimum 12 orang.
Menurut Mohamad Munir, walaupun larangan dilanjutkan, sebagai melaksanakan tuntutan fardu kifayah, azan waktu solat akan tetap berkumandang.
Jelasnya lagi, program ceramah melalui media sosial juga tetap terus dijalankan.
“Sultan Selangor menitahkan agar rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mematuhi setiap arahan dan garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak JAIS,” kata Mohamad Munir. – SM