PERLIS memberikan sokongan terhadap program-program melibatkan pelancongan komuniti tempatan dan aktiviti pelancongan yang berpaksikan rakyat, titah Raja Muda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tarikan bukit bukau batu kapur yang menjadi lokasi pilihan para pendaki bukit dan peserta “lnternational Rock Climbing Competition” di Bukit Keteri secara tahunan yang dianjurkan oleh kelab tempatan dan disokong oleh syarikat dan komuniti sukan lasak.
Baginda bertitah, Taman Negeri Perlis mempunyai sumber biodiversiti yang difahamkan tidak dipunyai oleh negeri-negeri lain di negara ini.
Jelas Baginda, banyak spesies baharu juga dijumpai di Taman Negeri Perlis dan ramai pengkaji antarabangsa hadir untuk menjalankan kajian di sana dari masa ke semasa.
Tambah Baginda, Perlis bakal menjadi tuanrumah penganjuran “The Northern Most Bird Race – Wang Kelian” yang bakal dilaksanakan pada 28 – 29 Oktober 2023 bertempat di Wang Kelian.
Penganjuran program ini merupakan antara tarikan baharu untuk Negeri Perlis dan telah dicadangkan sebagai acara tahunan sempena Tahun Melawat Perlis Tahun 2024 – 2025 dan telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan Perlis Nature and Wildlife (PNW) yang merupakan komuniti hutan Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
Sebelum itu Baginda berkenan merasmikan Promosi Masakan Perlis “Kurma Daging” di Hotel Rua Rasada, Trang, Thailand anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Restoran Mieza Kitchen Kampung Gial, Perlis.
Progam ini antara aktiviti Ziarah Mahabbah yang diketuai oleh Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang Di Pertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bersama Delegasi Jawatankuasa Pengurusan Zakat dan Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs ke Wilayah Trang, Thailand dari 6 hingga 8 Oktober.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir, Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Konsul Jeneral Malaysia, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi. – SM