PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa pegangan Islam di Perlis adalah Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Dalam akidah, Perlis cenderung kepada mengikut jalan salafus soleh tanpa mengkafirkan atau mudah menyesatkan sesama umat Islam.
Sementara dalam Fekah, Perlis bersikap terbuka menerima keluasan pandangan hukum dari pelbagai mazhab khususnya mazhab yang empat. Maksudnya, dalam memilih pandangan beragama di negeri ini, di samping menilai keteguhan hujah dan dalil, juga mengambil kira realiti yang dihadapi oleh umat ini.
Atas alasan ini juga, kita percaya kita mempunyai ruang yang besar untuk berinteraksi dengan semua pihak yang menghormati fakta dan keluasan ilmu pengetahuan.
Demikian titah Baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Multaqa Ahlus Sunnah Asia Tenggara Bagi Tahun 2023 yang berlangsung di Hotel Putra Regency, Kangar yang melibatkan kehadiran tokoh-tokoh Islam dari rantau ini termasuk Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam, Timor Leste, Filipina dan Myanmar serta Malaysia sendiri ke Kangar.
Multaqa anjuran bersama oleh Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA) dan Rabithah Ulama & Da’ie ASEAN (RUDA) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga Jabatan Mufti Negeri Perlis ini mempunyai empat objektif utama.
Antaranya ialah bagi mendapatkan informasi terbaru perkembangan gerak kerja dan aktiviti dakwah para ahli gabungan dan sahabat sejemaah, aktiviti-aktiviti bagi memaksimakan manafaat ilmu dan tautan ukhuwah, membahaskan isu-isu utama dan kepentingan bersama serta merangka strategi dan usaha dakwah di masa hadapan.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Perlis, Prof Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut sama hadir adalah Pengerusi GASMA, Dr. Abdullah Yasin dan Pengerusi RUDA, Dr. Muhammad Zaitun Rasmin.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs turut bersyukur kerana Perlis dipilih sebagai tempat bermusyawarah demi kebaikan umat kita dan mengharapkan mudah-mudahan dengan lebih banyaknya persidangan, seminar dan seumpamanya diadakan di Perlis akan mengangkat nama baik negeri ini, dan apa yang lebih penting menjadikan negeri ini diberkati Allah.- SM
BACA Sebar kasih sayang untuk kekuatan ummah – Pemangku Raja Perlis