Perlis akan cadang PM pertimbang cuti umum 18 November
PERLIS akan mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya diisytiharkan cuti umum pada 18 November ini sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man percaya kini kerajaan Pusat sedang menimbangkan perkara ini dengan serius.
“Kita tak nafikan cuti ini penting bagi memudahkan pergerakan untuk mengundi pulang ke kampung halaman masing-masing” katanya.
Azlan berkata demikian kepada media selepas melakukan “walkabout” bersama empat calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena, Indera Kayangan, Kayang, Kuala Perlis dan calon Parlimen Kangar.
Ia melibatkan calon Parlimen Kangar iaitu Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jaya, Lim Wheng Khee (Indera Kayangan),
Saiful Daniel Mohd Yusof (Sena), Kamaruddin Malik (Kuala Perlis), Hamizan Hassan (Kayang) termasuk Azlan calon Bintong.
Sebelum ini, Selangor dan Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mengumumkan 18 November sebagai cuti umum bagi memudahkan rakyat di negeri berkenaan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 15 November dan hari mengundi 19 November ini. – SM