Nasional

PERKESO, MRC jalin kerjasama strategik rangsang penglibatan pekerja tempatan

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama merangsang pengambilan tenaga kerja tempatan dalam industri getah negara, hari ini.

Insentif yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik dua hala ini turut bermatlamat untuk menyokong dan mengukuhkan lagi usaha Kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing, sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan dalam industri getah.

MoU ini telah ditandatangani oleh Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO dan Nor Hizwan Bin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif MRC. Ia telah disaksikan oleh Azziruan Bin Arifin, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO dan Tuan Haji Zakaria bin Haji Ab Rahim, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, mewakili Pengerusi MRC.

Menerusi kerjasama ini, PERKESO akan membantu mempromosi peluang kerjaya yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat di bawah MRC kepada orang ramai khususnya kepada pencari kerja aktif dari kawasan luar bandar. Ia merangkumi penganjuran aktiviti seperti sesi temu duga terbuka, program kebolehpasaran pekerjaan, webinar kerjaya, karnival pekerjaan dan sebagainya. Usaha ini akan disokong oleh inisiatif JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) di bawah Bajet 2022, di mana majikan yang berdaftar di bawah MRC dan membuat pengambilan pekerja bermula 1 Januari 2022 layak untuk memohon dan menerima insentif kewangan JKIP ini.

Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato’ Aziz Mohammed dalam ucapannya berkata “Menerusi kerjasama ini, PERKESO selaku penyedia Perkhidmatan Pekerjaan Awam melalui portal MYFutureJobs, dapat membantu merancakkan pasaran buruh negara menerusi tawaran pekerjaan kepada pencari kerja tempatan khususnya dalam industri  getah, meningkatkan bekalan tenaga kerja kepada majikan berdaftar di bawah MRC dan membantu menurunkan kadar pengangguran negara.”

“Di samping JKIP, PERKESO juga akan berusaha untuk merangsang para pekebun kecil untuk berdaftar dengan kami di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan menyediakan bantuan untuk membiayai pakej SKSPS mereka untuk tempoh masa tertentu. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan perlindungan keselamatan sosial kepada individu bekerja sendiri yang berdaftar di bawah MRC,” tambah Dr Azman.

MRC telah memperkenalkan Dana Pengambilan Pekerja Tempatan atau Hiring Malaysian Workers Fund (HMWF) pada tahun 2020 untuk mengalakkan penyertaan pekerja tempatan dalam industri getah. “Memandangkan negara berada dalam fasa pemulihan selepas COVID-19, sudah tiba masanya untuk kita menyokong industri getah Malaysia, dengan menggalakkan majikan mengambil lebih ramai pekerja tempatan dan seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing,” ujar Nor Hizwan Ahmad. 

Menurut Hizwan lagi, HMWF 2.0 yang telah ditambah baik ini akan melengkapi inisiatif PERKESO yang bukan sahaja dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara ini, malahan membantu mengurangkan beban majikan dalam menghadapi masalah berkaitan pekerja asing.

Dengan kerjasama strategik seumpama ini, PERKESO dan MRC dapat memperluaskan lagi penyampaian perkhidmatannya menerusi bidang kepakaran masing-masing demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button