MERUJUK kepada berita dari satu portal berita tempatan (bukan SUARA MERDEKA) bertajuk ‘SPRM angkut 40 pekerja Kementerian Sumber Manusia, Perkeso – sumber’ yang disiarkan semalam, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ingin menegaskan rasa kesal terhadap berita yang tidak benar dan telah menjejaskan nama baik PERKESO.
“PERKESO berasa amat kecewa kerana tidak dihubungi terlebih dahulu untuk mengesahkan fakta sebelum berita tersebut disiarkan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi oleh Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat, Izad Raya.
Walaupun portal berita itu telah membetulkan fakta dalam berita tersebut kemudiannya, namun berita awal yang disiarkan menyatakan pekerja PERKESO ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam Ops Hire berkaitan penyelewengan tuntutan PenjanaKerjaya telahpun tular menerusi pelbagai platform media sosial seperti Whatsapp dan lain-lain.
Malahan berita tersebut turut menjadi sumber berita oleh beberapa pihak media yang lain pula. Ini tentunya menjejaskan reputasi PERKESO yang sentiasa mendukung tinggi nilai-nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang digalas untuk membantu golongan sasaran yang memerlukan.
PERKESO mengambil serius akan kepercayaan Kerajaan dan Rakyat kepada organisasi ini untuk mengagihkan dana yang besar dalam membantu majikan dan pekerja yang terkesan akibat penularan COVID-19 di bawah Program PenjanaKerjaya.
“Justeru kami memandang serius dan amat khuatir dengan laporan berita yang memetik sumber yang tidak sahih dan kredibel yang nyata bercanggah dengan etika kewartawanan.” kata Izad.
Sehubungan itu, pihak PERKESO berharap portal berita tersebut dapat memperbetulkan situasi negatif yang telah mereka timbulkan hasil daripada penyebaran maklumat tidak benar yang telah dilakukan. – SM
Artikel berkaitan > PERKESO gantung bayaran RM423 juta