Politik

Perincikan maklumat bawa pelaburan RM2.5b ke Perlis

BERITA baik kejayaan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) Perlis membawa pelaburan bernilai RM2.5 billion perlu disokong dengan maklumat secara terperinci.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, senaraikan para pelabur yang telah bersetuju untuk melabur di negeri ini dan jumlah pelaburan yang dibawa masuk bagi setiap pelabur itu.

“Ini bagi membolehkan rakyat Perlis mendapat maklumat yang jelas mengenai pelaburan baharu berkenaan sekaligus menjadikan mereka lebih cakna akan pertumbuhan ekonomi yang bakal memberi impak kepada penduduk negeri ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Beliau mengulas demikian setelah memetik laporan Harakah Daily semalam mengenai kerajaan PN Perlis telah berjaya membawa pelaburan sejumlah itu dalam tempoh tujuh bulan memerintah.

Sekaligus katanya, Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis juga menyambut baik usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perlis dibawah kepimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli atas kejayaan ini.

Bagaimanapun, kata Rozabil
sebagai pembangkang, tetap berperanan menyemak imbang keberkesanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

“Gesaan UMNO Perlis ini bagi memastikan berita kejayaan memperolehi pelaburan baharu tersebut juga bukan sekadar retorik menjelang Pilihan Raya di enam buah negeri pada 12 Ogos depan,” katanya.

Katanya, jika laporan tersebut adalah benar dan berlandaskan fakta, maka pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini harus diberi kepujian sewajarnya diatas kecekapan mengurus tadbir ekonomi negeri.

Tambahnya, jika pelaburan yang dimaksudkan adalah kesinambungan pelaburan yang diusahakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, maka berita ini tidak seharusnya dilaporkan sedemikian.

“Tanpa maklumat yang jelas dan terperinci, laporan tersebut akan dilihat sebagai satu usaha propaganda untuk memperdaya rakyat menjelang Pilhanraya Negeri akan datang,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, UMNO Perlis berharap agar Kerajaan PN Perlis dapat memperincikan maklumat pelaburan baharu tersebut dengan kadar segera.

Katanya, UMNO Perlis yakin dan percaya Kerajaan Negeri tidak mempunyai masalah untuk melakukan demikian demi ketelusan kepada rakyat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button