Nasional

Perhimpunan bersejarah 300 penulis: Memacu masa depan sastera

Dalam usaha memperkukuh kedudukan sastera sebagai teras pembangunan tamadun dan penggerak pemikiran masyarakat, Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) III dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) IV diadakan di Hotel Royal Park @ UNITEN, Bangi, Selangor dengan tema “Penulis Teras Malaysia Madani”.

Program anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bersama-sama beberapa persatuan dan agensi kerajaan menjadi platform penting untuk memperkasa peranan penulis dalam era Malaysia Madani.

Acara tiga hari yang menghimpunkan tokoh-tokoh sastera, penulis muda, sarjana, dan penggiat seni dari seluruh negara membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan sastera, teknologi, dan pembangunan masyarakat. SKPM III dan PPMN IV diadakan berlandaskan misi untuk memperkukuh nilai sastera kebangsaan dan mengangkat suara penulis sebagai agen perubahan.

Hari Pertama: Perhimpunan Penulis Muda Nasional IV

Pada 18 Disember 2024, fokus diberikan kepada PPMN IV yang menghimpunkan bakat-bakat muda dalam bidang penulisan. Dengan tema “Penulis Muda Mendepani Cabaran Revolusi Teknologi”, acara ini memulakan perbincangan tentang bagaimana penulis muda dapat beradaptasi dengan cabaran era digital sambil mengekalkan keaslian sastera kebangsaan.

Antara sesi menarik termasuk Dialog “Sastera Sebagai Komoditi: Ruang & Peluang” dan “Mencipta Jagatraya Karya: Manipulasi Dalam Era Digital” yang menampilkan panelis antaranya Jamalee Bashah, Hafizah Iszahanid, dan Muhammad Fadli Al-Akiti.

Kemuncak hari pertama ialah ucaptama oleh Sasterawan Muda MASTERA 2023, Muhammad Lutfi Ishak, serta forum “Mengangkat Karya Dalam Acuan Malaysia Madani” yang memperlihatkan pembentangan makalah oleh para ilmuwan dan penulis muda terkemuka.

Pada malamnya, program Malam Baca Puisi PENA diadakan di Teres @ Restoran MZ. Acara ini menyaksikan para penulis dan peminat sastera mendeklamasikan puisi dalam suasana santai, tetapi penuh makna yang mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan melalui seni.

Hari Kedua: Sidang Kemuncak Penulis Malaysia III

Pada 19 Disember 2024 menyaksikan berlangsungnya SKPM III, yang menampilkan ucaptama oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA. SKPM III bertujuan untuk membincangkan arah tuju sastera kebangsaan dalam konteks Malaysia Madani.

Sidang pertama bertajuk “Arah Tuju Sastera Kebangsaan” menampilkan pembentangan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani, Profesor Datin Dr. Ruzy Suliza Salam, dan Dr. Muhaimin Sulam, diikuti dengan forum “Peranan Punca Kuasa Dalam Pembangunan Sastera” yang menampilkan tokoh seperti Sasterawan Negara Datuk Rahman Shaari dan Profesor Dr. Hashim Ismail.

Pada malamnya, Malam Kemuncak Penulis Malaysia berlangsung dengan penuh gilang-gemilang. Majlis ini menyaksikan pelancaran Penerbitan 123 Buku PENA – Malaysia Madani oleh Muhammad Kamil Abdul Munim, Setiausaha Politik Menteri Kewangan. Acara turut diserikan dengan persembahan syair oleh Roslan Madun, nyanyian lagu puisi oleh kumpulan Dewangga Sakti, serta deklamasi puisi oleh Dr. Norzuraina Mohd Nor.

Hari Ketiga: Pengantarabangsaan Sastera dan Resolusi Penulis

Pada hari terakhir, iaitu 20 Disember 2024, SKPM III memfokuskan perbincangan berkenaan “Pengantarabangsaan Sastera” dan “Integrasi Sastera dan Teknologi Dalam Sastera Madani”. Panel yang terdiri daripada tokoh seperti Noor Amin Ahmad, Datuk Dr. Ramzah Dambul, dan Dr. Fadh Razi mengupas bagaimana sastera Malaysia dapat berkembang dan potensinya di persada dunia.

Majlis diakhiri dengan pembentangan resolusi oleh Mohd Khair Ngadiron untuk SKPM III dan Zaifulnizam Wagiran bagi PPMN IV. Resolusi ini menjadi panduan strategik bagi penulis Malaysia dalam mengukuhkan peranan sastera sebagai tonggak pembinaan tamadun Malaysia Madani.

Menyerlahkan Suara Penulis Sebagai Teras Peradaban

SKPM III dan PPMN IV bukan sekadar perhimpunan intelektual, tetapi juga satu deklarasi bahawa penulis Malaysia mempunyai peranan penting dalam mendepani cabaran globalisasi dan teknologi. Penulis adalah penyampai nilai, penjaga tradisi, dan pencetus perubahan.

Kedua-dua acara ini menjadi wadah pencetus inspirasi kepada semua penulis untuk terus berkarya demi memartabatkan sastera dan memperkukuh jati diri bangsa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button