Nasional

Percuma sebulan naik MRT, LRT kata PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mulai hari ini, untuk tempoh seminggu, orang ramai diberikan perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL.

Beliau berkata, perkhidmatan secara percuma itu adalah untuk dinikmati Keluarga Malaysia yang terlibat menggunakan pengangkutan awam untuk urusan seharian.

“Orang ramai diberikan kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” katanya pada Majlis Pelancaran Pembukaan MRT laluan Putrajaya Fasa Satu.

Ismail Sabri dalam kenyataannya juga berkata, MRT Laluan Putrajaya yang dibangunkan dalam dua fasa menyediakan perkhidmatan kepada lebih kurang 2 juta penduduk di koridor bermula dari kawasan Kwasa Damansara ke Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan.

“MRT Laluan Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu manakala Laluan Fasa Dua yang kini hampir siap sepenuhnya melibatkan laluan dari Kampung Batu ke Putrajaya.

Related Articles

“Laluan Fasa Dua akan melalui kawasan strategik termasuk Pusat Bandar Kuala Lumpur dengan stesen bawah tanah seperti Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur, Ampang Park, Persiaran KLCC dan Tun Razak Exchange (TRX),” jelas beliau.

MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7 kilometer ini, kata Perdana Menteri Ismail Sabri, mempunyai 36 stesen terdiri daripada 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah.

Katanya lagi, jumlah keseluruhan bagi pembinaan jajaran ini adalah sebanyak RM30.53 bilion.

“Pihak MRT juga kini dalam perancangan untuk menambah empat lagi stesen baharu pada masa akan datang agar akses kepada pengangkutan awam dapat terus ditingkatkan,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Ismail Sabri turut memaklumkan, pembukaan sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya dijangka mencatat bilangan awal penumpang harian melebihi 104,000 orang.

Beliau berkata, ini diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini menghantui Kuala Lumpur.

“Bagi perasmian MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu hari ini, kemudahan ini akan membolehkan para pengguna menikmati pertukaran perkhidmatan yang lancar ke MRT Laluan Kajang melibatkan platform aras sama di stesen Kwasa Damansara.

“Bas perantara dan bas GoKL juga akan disediakan di stesen bagi menyambungkan destinasi pertama dan terakhir projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu,” katanya.

Untuk rekod, lima tahun dahulu, MRT Laluan Kajang telah dibuka untuk menghubungkan kawasan Sungai Buloh ke Kajang, Selangor .

Dan projek rangkaian rel berkaitan kini semakin diperluas dan dimanfaatkan ramai penduduk Lembah Klang.

Kemudahan laluan MRT Putrajaya ini pula misalnya akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

Rakyat juga akan lebih mudah bergerak dan berulang-alik ke tempat kerja, bersosial dan mengakses kemudahan awam yang lain. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button