Peranan media sosial dan pempengaruh bantu promosi Pelancongan Malaysia
DI zaman serba moden sudah menjadi kebiasaan dalam dunia yang semakin terhubung ini, teknologi digital memainkan peranan yang amat penting dalam hampir setiap aspek kehidupan, termasuklah dalam sektor pelancongan.
Kini, media sosial dan pengaruh digital telah menjadi alat yang sangat berkuasa dalam memperkenalkan destinasi pelancongan tempatan, membantu memperkenalkan keindahan negara kepada dunia, sekaligus memberikan sokongan kepada pertumbuhan industri pelancongan. Ini adalah sejajar dengan usaha kerajaan dalam menjayakan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, yang bertujuan menarik lebih ramai pelancong, baik dari dalam mahupun luar negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menjelaskan bahawa kementeriannya memanfaatkan platform media sosial dan pempengaruh untuk menarik perhatian golongan muda, baik dari dalam mahupun luar negara.
“Di zaman moden ini, media sosial dan pempengaruh telah menjadi alat yang amat penting dalam promosi pelancongan. Kita memanfaatkan semua platform media sosial kerana kita sedar betapa besarnya pengaruhnya. Gambar dan video yang dikongsi boleh mempamerkan keindahan destinasi pelancongan dalam negara, menjadikannya salah satu saluran utama dalam promosi pelancongan, selain media tradisional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Makan Malam All Star Influencer Award (ASIA) 2024 yang diadakan semalam.
Majlis itu turut dihadiri oleh Penganjur ASIA2024, Datuk Abd. Rahman Soltan, serta 60 pempengaruh dari sembilan negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Jepun, Filipina, Taiwan, Korea Selatan, dan China.
Mengenai penganjuran ASIA2024, Tiong King Sing menyatakan bahawa kehadiran 60 pempengaruh dari pelbagai negara merupakan langkah positif dalam mempromosikan Malaysia.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada ASIA2024 dan semua pempengaruh yang hadir. Mereka bukan sahaja membantu mempopularkan acara ini, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama. Ini sejajar dengan usaha kita menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, di mana kehadiran mereka memberikan impak besar dalam mempamerkan kecantikan dan keunikan negara melalui media sosial. Kandungan kreatif yang dihasilkan oleh pempengaruh membantu memperkaya strategi pemasaran pelancongan dengan cara yang lebih menarik, cepat, dan relevan,” tambahnya.
Sementara itu, Abd. Rahman Soltan menjelaskan bahawa ASIA2024, yang akan berlangsung pada 7 Disember ini, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menghasilkan kandungan yang berkualiti dan memberi manfaat, selain mengumpulkan bakat serta pempengaruh digital dari pelbagai latar belakang budaya.
“Peserta yang mempunyai jutaan pengikut akan menyertai aktiviti seni dan budaya di Melaka. Video-video yang dihasilkan akan memfokuskan keindahan serta kepelbagaian budaya Malaysia, yang diharap dapat menarik perhatian pengguna media sosial di seluruh dunia. ASIA 2024 juga berperanan dalam mendidik pencipta kandungan agar menghasilkan karya yang bertanggungjawab dan menyampaikan mesej positif kepada audiens mereka,” ujarnya.
Edisi kedua ASIA ini turut menampilkan 13 kategori pertandingan, termasuk Best Storyteller Award, Best Culture Curator Award, dan Best Transition/Editing Award. Pemenang dalam setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai serta trofi eksklusif.