Peranan askar wataniah perlu diperluaskan – Pemangku Raja Perlis
Pendekatan baru yang diharap dapat dilaksanakan di masa hadapan akan dapat melihat peranan Askar Wataniah dimartabatkan dan diperluaskan lagi bukan sahaja sebagai barisan kedua pertahanan negara, malah sebagai instrumen terhadap pertahanan komprehensif melalui pendekatan Whole of Government and Whole of Society (WoGoS).
Mengimbas kembali perjalanan Askar Wataniah di dalam menyelusuri detik hampir tujuh dekad semenjak ditubuhkan pada tahun 1958 yang seharusnya memberikan pengajaran kepada semua lapisan masyarakat bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta bukan hanya terletak di bahu angkatan tetap tentera semata-mata. Malah, tugas dan tanggungjawab ini merupakan agenda bersama yang menuntut segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kementerian, pihak swasta, profesion, tahap pencapaian akademik, kaum, agama atau sebarang latar belakang, di dalam mencapai satu matlamat di bawah pertahanan komprehensif. Di dalam erti kata lain, cogankata ‘everyone has part to play’ perlu dibentuk di dalam minda merentasi batas kepelbagaian yang sedia wujud di kalangan rakyat dan masyarakat di negara ini.
Demikian titah Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli Khas Bersempena Hari Ulangtahun Rejimen Askar Wataniah Yang Ke-66 tahun ini disekitar Kg Behor Mempelam, Arau.
Berangkat sama ialah anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Kayuhan ini dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang turut disertai oleh ketua-ketua agensi Negeri dan Persekutuan bagi mengenal pasti masalah golongan yang kurang bernasib baik serta jalan penyelesaian yang terbaik baik bagi keluar dari belenggu kemiskinan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyempurnakan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih pada edisi kali ini.
Sharidah Mustafa, 70 tahun dan Chik Mat Isa, 66 tahun dari Kampung Telaga Haji Latif dan Hasnizam Abdul Hamid, 43 tahun dari Kampung Teluk telah menerima wang tunai RM 700, Kits MAIPs Peduli serta dua kampit beras Fidyah bagi menampung keperluan harian mereka.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meluangkan masa mengadakan lawatan ke BB Homestay Arau yang menawarkan 3 buah homestay bekembar buat pelanggan yang inginkan ‘privacy’. Rumah inap ini turut dilengkapi dengan kolam renang kanak-kanak dan menjadi antara faktor tarikan buat pengunjung yang bekeluarga.