Penyokong Bersatu diminta tunjuk semangat setiakawan di Kimanis
PENYOKONG Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi bagi memastikan kemenangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Jan ini.
Justeru, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pimpinan dan ahli parti berkenaan khususnya di negeri ini memberi tumpuan dan perhatian bagi membantu dan melaksana tanggungjawab tersebut atas dasar persahabatan yang akrab dengan parti tempatan Sabah itu.
“Situasi ini (PRK) penting dan perlu kita tunjuk semangat setiakawan antara Bersatu dan Warisan serta parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).
“Persahabatan kita (Bersatu) dengan Warisan adalah serius. Kebetulan berlaku ketika PRK (Parlimen Kimanis) yang menguji kesetiaan kita untuk membantu Warisan menang,” katanya pada majlis santai petang Bersatu Sabah di kediaman Ketua Bahagian Bersatu Kimanis Datuk Mohd Arifin Mohd Arif di Membakut di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden PH, berkata masa depan Sabah adalah penting kerana gabungan pakatan itu mempunyai tanggungjawab dan perancangan yang perlu ditunaikan oleh kerajaan Persekutuan di negeri ini.
“Sejak menang pada Pilihan Raya Umum lepas, kita diberi amanah dan rakyat mahu melihat usaha selesaikan masalah dan kehidupan lebih baik daripada masa lampau (semasa kerajaan Barisan Nasional).
“Kami di (kerajaan) pusat dan negeri (di bawah Warisan) memberi komitmen bersama-sama kepada usaha ini…yang penting kerjasama erat untuk menentukan tindakan disusun di Sabah dapat dilaksana dan memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan PH tidak terpesong dengan matlamat untuk memulihkan keadaan negara ini yang ditinggalkan oleh BN dengan beban hutang, gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau berkata walaupun pembangkang sering membangkitkan pencapaian kerajaan di bawah PH, mereka jangan lupa dengan tinggalan hutang mereka selama 61 tahun memerintah negara.
“Sebab itu rakyat perlu faham bahawa kita tidak terpesong dengan matlamat untuk memulihkan keadaan negara dan ini juga memerlukan kerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” katanya.
Pada PRK Kimanis 18 Jan ini, Karim, 67, akan dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin, 48 tahun.
– BERNAMA