Penyelidik UPSI, UM, UTHM Hasilkan pemprofilan “Intelligenomics”
MALAYSIAN Research Consortium in Educational Genomics for Personalised Childhood Learning and Development (MUSTAID) yang terdiri dari Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan sokongan dana Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) sedang melaksanakan projek penyelidikan bertajuk “Pemprofilan Intelligenomics untuk Pembelajaran dan Perkembangan Kanak-kanak Secara Peribadi.”
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kolaborasi antara UPSI, UM dan UTHM bukan sahaja dapat menjalin kerjasama malahan memberi impak kepada sebuah penyelidikan yang bermanfaat untuk negara.
“Saya senantiasa menyokong sebarang kolaborasi antara UPSI dengan universiti lain termasuk universiti luar negara agar usaha pengantarabangsaan dapat dilakukan sekali gus meningkatkan imej universiti,” katanya.
Sementara Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Suriani Abu Bakar berkata projek berkenaan adalah satu inisiatif yang menggabungkan kajian genomik dan kepintaran buatan (artificial intelligence) bagi membantu perkembangan pembelajaran kanak-kanak prasekolah di Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, projek penyelidikan yang diketuai Prof Madya Dr. Bahbibi Rahmatullah bersama Prof Madya Dr. Suzani Mohamad Samuri dan Dr. Raja Farhana Raja Khairuddin itu akan dapat dijadikan satu platform oleh pendidik dan ibu bapa dalam memahami perkembangan pembelajaran anak-anak mereka dengan lebih mendalam melalui pembangunan pemprofilan perkembangan pembelajaran kanak-kanak dalam bentuk digital.
Beliau berterima kasih kepada KPT yang mendanai projek penyelidikan bernilai setengah juta ringgit.
Prof Madya Dr. Bahbibi Rahmatullah Platform Intelligenomics yang akan dihasilkan itu mampu merintis pembangunan kurikulum prasekolah yang disesuaikan dengan profil genomik kanak-kanak.
“Ia bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada para guru dan ibu bapa untuk dijadikan sebagai salah satu satu strategi intervensi serta pengukuhan dari aspek keperluan pendidikan khas, kesihatan, penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, malah penyelidikan ini amat berpotensi dalam menjadi model platform untuk meraikan kebolehan dan bakat kanak-kanak di Malaysia,” katanya. -SM