MASIH ingatkah lagi penyanyi lagu berjudul Senandung Anak Melaka yang menjadi tema Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Yasser Fikri Abu, 34, atau lebih dikenali Yasser Atak? Beliau kini menjual sate walaupun mengakui tidak akan meninggalkan bidang seni suara.
Sekali bergelar anak seni selepas sering membuat kemunculan dalam mana-mana program kerajaan negeri sempena TMM2024, Yasser berkata, beliau sama sekali tidak akan berhenti berniaga sate yang diusahakannya sejak lebih 10 tahun lalu.
Beliau yang kini berniaga di Taman Nirwana, Batang Tiga, Tanjong Kling, Melaka berkata, menjadi anak seni adalah sumber pendapatan sampingan tetapi tidak dijadikan punca rezeki utama bagi menyara isteri dan tiga anaknya.
“Saya berjinak-jinak berniaga sate sejak zaman sekolah lagi. Perniagaan sate ini diusahakan oleh emak saya sejak lebih 30 tahun.
“Memang saya meminati bidang nyanyian sejak sekian lama dan pada masa yang sama, perniagaan sate adalah sumber rezeki utama saya.
“Alhamdulillah lagu Senandung Anak Melaka dipilih menjadi lagu tema TMM2024. Ini rezeki tambahan saya dan tidak menyangka lagu yang dirakamkan pada 2021 menjadi kegilaan ramai orang,” katanya.
Yasser yang lebih dikenali penyanyi lagu Melayu Asli berkata, beliau sendiri tidak menyangka lagu ciptaan Fauzi Mohamad, lirik Siso Kopratasa terpilih menjadi lagu tema TMM2024.
Katanya, lagu yang dirakamnya di bawah syarikat Luncai Emas pada 2021 kini meletup kerana sering berkumandang dalam mana-mana majlis keraian kerajaan negeri.
Ujarnya, ketika itu lagu yang dinyanyinya itu walaupun dimuatnaik di Facebook dan TikTok tidak mendapat perhatian rakyat di negeri ini.
Katanya, lagu itu hanya digunakan oleh beberapa beca di Banda Hilir kerana melodi dan lirik mencuri perhatian untuk dipasang ketika mereka membawa pelancong.
“Syukur selepas tiga tahun lagu ini makin mendapat tempat ramai anak-anak dah pandai nyanyi lagu ini,” katanya.
Beliau berkata, persembahannya menyanyi bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 dan pelancaran TMM2024 di Dataran Pengkalan Rama adalah penampilan pertama dalam sebuah majlis terbesar. -SM
BACA Berpanas, berhujan gigih jual sate walau upah hanya RM4
BACA Hanya di Indonesia, wanita bertudung ini jual sate ular tedung di tepi jalan