Nasional

Penuntut universiti awam disaran sertai PALAPES – Raja Muda Perlis

Rawalpindii, Pakistan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan para penuntut baru Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) supaya cuba menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Angkatan Tentera Malaysia di universiti masing-masing.

Ini adalah kerana terdapat pelbagai kelebihan bagi mereka berbanding seseorang penuntut biasa yang lain.

Antaranya, PALAPES merupakan antara unit beruniform berprestij bagi seorang pelajar universiti. PALAPES didoktrinasikan dengan gaya hidup berpasukan dan itu merupakan elemen yang ditekankan dalam alam bekerja serta semangat ‘esprit de corps’.

Dari segi akademik, penyertaan dalam pasukan ini menjamin 6 Jam kredit dengan keputusan yang terbaik dan tidak ditawarkan oleh mana-mana unit beruniform yang lainnya.

Bagi penginapan pula, Pegawai Kadet PALAPES diberi jaminan terhadap penginapan tidak sperti pelajar lain yang perlu mengumpulkan merit untuk mendapatkan penginapan.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Kolej Kejuruteraan Elektrikal dan Mekanikal Pakistan yang kampusnya terletak di Rawalpindi pada pagi semalam.

Keberangkatan baginda disambut oleh Komandannya Brigedier Jeneral Muhammad Alamgir dan Timbalan Komandan, Kolonel Imtiaz Qayyum.

Tuanku Raja Muda Perlis diiringi sama oleh Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Kol (K) Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Kapten Muhammad Azuan Mohamad Nasir juga dari UniMAP.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, TYT Ikram Mohd Ibrahim dan Penasihat Pertahanan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, Kolonel Abu Hashim Jamaludin.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat yang kini mengetuai delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategi Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Malaysia’ ke Pakistan itu turut mengingatkan bahawa dari sudut ketenteraan pula, pelajar yang menyertai PALAPES akan dibekalkan dengan ilmu-ilmu taktik ketenteraan termasuklah ilmu medan perang dan ilmu persenjataan. Ilmu ini tidak akan diperolehi oleh para pelajar biasa.

Selain itu, pelajar yang menyertai PALAPES juga akan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dan menerima watikah pelantikan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Untuk rekod juga, pelajar yang menyertai PALAPES diberikan keistimewaan dalam universiti. Sebagai contoh di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), pelajar yang menyertai PALAPES diberi pengecualian untuk hadir ‘7 Pillars’ seperti pelajar biasa lain sebagai syarat graduasi kerana dalam PALAPES telahpun diajarkan kesemua silibus tersebut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button