Nasionalpilihan

Penubuhan Lembaga Unggas Negara di peringkat perbincangan

Cadangan penubuhan Lembaga Unggas Negara bertujuan menstabilkan harga ayam dan telur masih di peringkat perbincangan kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurutnya, masih banyak perkara yang perlu diperincikan dan dibincangkan sebelum diputuskan penubuhannya.

“Itu (penubuhan Lembaga Unggas) di peringkat perbincangan dan kita akan teruskan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Bangunan Kilang Milagro yang membekalkan baja organik di Krubong, Melaka di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan desakan beberapa pihak supaya Lembaga Unggas Negara diwujudkan yang dilihat mampu menyelesaikan penyelesaian isu berkaitan bekalan ayam dengan berteraskan perincian mendalam dan strategi lebih menyeluruh.

Pemain industri mencadangkan penubuhan lembaga unggas diperhalusi kerajaan, selain melantik syarikat milik kerajaan (GLC) untuk terlibat seratus peratus dalam menghasilkan anak ayam day old chick (DOC) serta makanan dedak ayam.

Kerajaan digesa menyalurkan segera subsidi kepada pengusaha ladang ayam dan telur bagi membantu mereka mendapatkan modal pusingan untuk mengembangkan operasi bagi memenuhi permintaan yang bertambah menjelang sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini.

Bagaimanapun, Mohamad menafikan dakwaan itu dengan menyatakan penyaluran subsidi masih disalurkan kerajaan sehingga kini.

“Masih bagi subsidi itu belum ditarik balik. Kita lihat harga telur itu melambung kerana kenaikan harga makanannya terutama soya dan juga jagung, menyebabkan harga ayam dan telur naik mendadak,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan telah membayar subsidi lebih RM1.8 bilion untuk menstabilkan harga telur dan ayam.

Katanya, isu kekurangan bekalan telur ayam hari ini adalah isu global yang turut melanda negara-negara luar berpunca daripada kenaikan harga makanan ternakan seperti soya dan jagung. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button