Penting Kerjasama Antarabangsa Dalam Mencapai Pembangunan Mampan Global
Berformatkan BRICS Plus, Dialog Peringkat Tertinggi Mengenai Pembangunan Global telah berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak BRICS ke-14 yang dipengerusikan oleh TYT Xi Jinping, Presiden Republik Rakyat China.
Dalam sesi Dialog itu, tema ‘Memupuk Perkongsian Pembangunan Global untuk Era Baharu dalam Melaksanakan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan secara Bersama’ diangkat sebagai tunjang utama.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataannya berkata, Dialog itu membolehkan para pemimpin membincangkan kepentingan perpaduan di peringkat antarabangsa dan kerjasama yang berkesan.
Ia selari dengan usaha dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuk menggalakkan pemulihan global, pembaharuan tadbir urus global dan perkongsian pembangunan global yang inklusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyertai pemimpin Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan dan dua belas Ketua Negara/Kerajaan lain di Dialog Peringkat Tertinggi Mengenai Pembangunan Global.
Perdana Menteri menegaskan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi bagi mencapai Agenda Pembangunan Mampan, yang telah termaktub di dalam pelbagai dasar kerajaan termasuk Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).
Dalam konteks meningkatkan kerjasama antarabangsa dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan, Perdana Menteri mengemukakan tiga cadangan khusus.
Cadangan tersebut menyentuh mengenai :
(i) pengukuhan arkitektur pembangunan antarabangsa;
(ii) pengukuhan sistem pelbagai hala; dan
(iii) merealisasikan komitmen untuk menangani krisis alam sekitar dan iklim.
Penyertaan Perdana Menteri dalam Dialog Peringkat Tinggi mengenai Pembangunan Global ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam melaksanakan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.
Ia juga menunjukkan komitmen dalam menggalakkan kerjasama antarabangsa yang berkesan untuk membantu negara membangun lain dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.