Ekonomi

Penjualan aset Petronas di Azerbaijan tiada kaitan bayaran dividen kerajaan

Penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan tidak ada kaitan dengan keperluan untuk membayar dividen kepada Kerajaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, Petronas telah meraih keuntungan bersih lebih tinggi RM9.3 bilion pada suku tahun ini berbanding RM4.5 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Menurutnya, kelulusan bayaran dividen RM18 bilion pada Februari 2021 adalah berdasarkan kemampuan prestasi dan pasaran pada tahun 2020 berakhir Disember 2020.

Mustapa berkata, jumlah tersebut adalah lebih rendah daripada tahun sebelumnya berikutan impak dari pasaran amat lemah dan harga minyak mentah global yang rendah akibat pandemik COVID-19.

Katanya, dividen tambahan RM7 bilion telah diluluskan pada Julai tahun ini berdasarkan kemampuan dan unjuran prestasi pasaran minyak yang lebih baik bagi tahun 2021.

Related Articles

“Bagi tempoh sepuluh bulan pertama, harga Brent mencatat sebanyak kira-kira USD69 setong. Kelulusan bagi penjualan aset Azerbaijan telah dibuat pada 1 Oktober 2021 setelah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah anak syarikat Petronas, iaitu Petronas International Corporation Ltd.

“Oleh yang demikian, Tuan Yang di-Pertua, penjualan aset Azerbaijan ini sama sekali tidak berkait secara langsung atau tidak langsung dengan keperluan untuk membayar dividen kepada Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, Kerajaan sekeraskerasnya menolak andaian Yang Berhormat Port Dickson bahawa terdapat hubung kait di antara penjualan aset tersebut dengan keperluan membayar dividen,” katanya.

Beliau menjawab usul oleh Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Dalam usul itu, Anwar berkata, terdapat laporan bahawa Petronas telah menjual aset gas di Azerbaijan dengan harga hampir RM10 bilion berikutan desakan kerajaan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan bagi tahun ini.

Menurut Mustapa, aset di Azerbaijan telah dikenal pasti sebagai salah satu aset untuk dijual sejak tahun 2019 lagi.

Walaubagaimanapun, proses jualan mengambil masa untuk memastikan harga penjualan aset dapat memberikan nilai yang wajar dan berpatutan kepada Petronas.

Menurutnya tahun 2020 adalah tahun yang amat mencabar dan penjualan aset di Azerbaijan tahun lalu tidak sesuai dilakukan.

Beliau turut menjelaskan, industri minyak dan gas sedang beroperasi dalam persekitaran yang mencabar dan tidak menentu berikutan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan besar kepada permintaan minyak dunia dan harga.

Harga minyak mentah Brent jatuh mendadak kepada USD17.32 setong pada 21 April 2020 berbanding dengan purata sebanyak USD64 setong pada tahun 2019.

Untuk jangka masa panjang trend peralihan tenaga ke tenaga yang lebih mampan dan bersih yang semakin pesat berlaku memerlukan syarikat minyak dan gas dunia termasuk Petronas untuk menilai semula aset, pelaburan dan porfolio perniagaan dari masa ke semasa.

Ini bagi memastikan kelangsungan dan daya saing jangka masa panjang syarikat tersebut.

“Perkara-perkara yang saya perincikan membuktikan bahawa penjualan aset gas di Azerbaijan tidak menjejaskan kedudukan kewangan syarikat yang boleh menjejaskan masa hadapan Petronas.

“Sebaliknya, pelaburan dan keputusan komersial yang diambil oleh syarikat telah membantu mengimbangi cabaran dihadapi khususnya penurunan pendapatan disebabkan pelbagai faktor luar kawalan syarikat.

“Petronas juga kekal komited dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara,” kata Mustafa.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button