PARA penilai Sesi Penilaian Aspiring Perlis Geopark Ke Arah Penarafan Kebangsaan baru-baru ini menyertai Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-53 bagi tahun 2023 sambil meninjau sekitar Projek DiRaja Transformasi Kampung Warna Warni Perkampungan Warisan Nelayan Seberang Ramai, Kuala Perlis baru-baru ini.
Delegasi diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Prof. Dr. Che Aziz Ali, dua orang penilai serta dua orang pemerhati mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengilhamkan inisiatif murni tersebut bersama-sama anakanda sulung Baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Sebanyak 8 lokasi menarik di sekitar kampung tersebut telah terlibat dalam sesi penilaian antaranya Laman Bunga Kertas, Rumah Laman Perlis, Laman Laksa, Jambatan Tuanku Syed Putra, Lorong Asnaf, Pengkalan Tangga Batu, Rumah Penghulu Omar dan Laman Bunga Raya.
Para penilai telah berpeluang merasa pelbagai juadah warisan setempat pada petang itu seperti Laksa Kuala Perlis, Dodol, Halwa Maskat, Karipap, Putu Mayang, Air Sirap dan Kopi O Panas serta dihiburkan dengan persembahan silat serta tarian Canggung.
Sempena program rutin Baginda tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Aishah Mohamed, 88, di Kampung Hujong Tanjung yang menerima RM700, Kit MAIPs Peduli” dan beras Fidyah. – SM
BACA Kayuhan MAIPs Ke-45 disertai pengurusan tertinggi JKM
BACA Kayuhan ‘Semarak Merdeka’ promosi TMP2024-2025 di Khlong Hae, Sadao