Peniaga ‘Nasi Paku’ Kini Tukar Cara Guna Getah Untuk Bungkus Makanan
Menerusi laporan Harian Metro, peniaga ‘nasi paku’ di Kelantan dilihat mula menukar kaedah pembungkusan mereka apabila menggunakan getah bagi menggantikan paku.
Langkah tersebut diambil susulan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) buat para peniaga baru-baru ini.
Menurut KKM, peniaga makanan dilarang menggunakan paku, dawai kokot atau bahan seumpama yang berbahaya pada pembungkusan makanan.
Sekiranya peniaga masih melakukan kaedah tersebut, mereka boleh didakwa di mahkamah.
Di bawah Peraturan 37 (2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh menyimpan, membawa, menyebarkan atau menggunakan apa-apa bahan asing, beracun, berbahaya atau merosakkan yang terkandung pada mana-mana makanan hingga boleh mendedahkan makanan yang hendak dijual kepada risiko pencemaran oleh bahan tersebut.
Menurut Dr Noor Hisham, mana-mana peniaga yang disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya mengikut Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, hukuman lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemukan dalam makanan.
Menurut salah seorang pembantu kedai di sebuah restoran di Kota Bharu, Mohammad Faizol Ramli, majikannya mula menghentikan penggunaan paku untuk pembungkusan nasi sejak Sabtu lalu dan menggantikan dengan getah selepas mendapat tahu mengenai arahan dikeluarkan oleh KKM.
Tambanya, perkara itu tidak menjadi masalah bagi mereka.
“Sebaik mendapat tahu mengenai perkara ini, majikan saya terus menghentikan penggunaan paku bagi pembungkusan nasi dan menggantikan dengan getah.
“Selain untuk keselamatan pelanggan, ia juga secara tidak langsung dapat menjimatkan kos iaitu getah yang jauh lebih murah berbanding penggunaan paku berharga hampir RM80 sekotak, manakala getah hanya RM8 untuk sepeket,” katanya.
Bercerita lebih lanjut, Faizol berpendapat pembungkusan nasi dengan menggunakan getah lebih senang berbanding paku, selain ia juga dapat mengurangkan risiko untuk tercucuk di jari.
Setakat ini rata-rata pelanggan juga tidak mempersoalkan penggunaan getah kerana mereka sedia maklum dengan arahan KKM selain ia juga tidak menjejaskan apa-apa melainkan hanya sekadar trademark.
Sementara itu, para pelanggan turut bersetuju dan berpuas hati sekiranya para peniaga menghentikan penggunaan paku.
Sumber: Harian Metro