MahkamahNasional

Peniaga ikan pekasam tak mengaku salah buat hantaran jelik terhadap Sultan Johor

SEORANG peniaga ikan pekasam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Sepang, Selangor, atas tuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Twitter tahun lepas.

Nor Fadzelli Nor Asmadi, 32, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrol Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk teks yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain menggunakan nama profil “Fadzelli6”.

Hantaran itu dibaca pada 25 November tahun lalu kira-kira puklul 2 petang di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.

Nor Fadzelli didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazil Sani Mohamed Fadzil yang mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 dikenakan pada Nor Fadzelli.

Tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan dia sebagai anak sulung menanggung lima beradik dengan hanya membantu ibunya menjual ikan pekasam.

Azrol membenarkan Nor Fadzelli diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam. – SM

BACA > Fitnah dan berita palsu berleluasa, Sultan Selangor kecewa lihat perangai netizen!

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button