Sukan

Amirul Zafran Safuandi harumkan nama negara di Kejohanan Muaythai Dunia

18th Amateur/Pro-Am World Muaythai Championships 2023

PELAJAR Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, Perlis, Amirul Zafran Safuandi berjaya mengharumkan nama negara selepas muncul sebagai pemenang pingat gangsa pada Kejohanan Muaythai Dunia dari 12 hingga 20 Mac lalu di Stadium Dindaeng, Bangkok.

Amirul Zafran, 13, anak jati Perlis ini menjadi satu-satunya wakil tunggal negara ke Kejohanan Muatythai bertaraf dunia ini.

Amirul Zafran bersiap sedia sebelum memulakan latihan Muaythai yang menjadi rutin harian sebaik lepas sekolah.

Sekalipun terpaksa berhadapan dengan lawannya dari Kazakhstan yang memiliki kelebihan fizikal iaitu lebih tinggi tetapi Amirul Zafran bertarung habis-habisan pada pertandingan 18th Amateur/Pro-Am World Muaythai Championships 2023 ini.

Kata jurulatihnya, Kiang Saiprawat, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Amirul Zafran adalah sangat luar biasa.

Saiprawat berkata, anak didiknya yang bertanding bagi kategori 37 kilogram (kg) kadet lelaki ini bertarung habis-habis sehingga lima pusingan.

Selaku pelopor Kelab Muaythai Tanji Kangar, Saiprawat berkata, Amirul Zahfran antara atlet Muaythai bimbingannya yang menjalani latihan di Gimnasium Saiprawat Muaythai di Jalan Padang Behor, Perlis.

Beliau berkata, pelajar ini dilatih sejak berusia lapan tahun atas kebenaran ayahnya setelah melihat minat anaknya dalam sukan Muaythai.

“Beliau sudah mula didedahkan kepada pertandingan sebagai mewakili Perlis sejak berusia 10 tahun,” katanya.

Amirul Zafran bersama pingat gangsa dan sijil kemenangan pada Kejohanan Muaythai Dunia di Bangkok baru-baru ini.

 

Sementara itu, Amirul Zafran berkata, beliau bersyukur kerana bapanya, Safuandi Sabri memberi sokongan yang kuat untuk terus menceburi sukan terbabit.

“Tidak dinafikan saya pernah mendapat kecederaan kecil ketika bertarung tetapi adalah lumrah serta tidak menjadi sebarang penghalang,” katanya.

Anak ketiga dari empat beradik ini amat mengkagumi atlet Muaythai negara iaitu Muhammad Radzi Ismail dan dijadikan  sebagai pembakar semangatnya terus berjaya dalam bidang sukan Muaythai.

Amirul Zafran yang menjadi atlet tetap di bawah Kelab Muaythai Tanji Kangar berharap akan tersenarai sebagai pemain negara suatu hari nanti.

Beliau yang bercita-cita ingin menjadi Tentera Laut apabila dewasa kelak akan meneruskan penglibatannya dalam sukan ini supaya dapat mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat dalam negara dan dunia. – SM

BACA Cabaran lebih 7 jam: Mat X pelayar solo termuda berjaya rentas Kuala Perlis-Langkawi

BACA Pelayar solo termuda berusia 12 tahun penuhi impian rentas laut Kuala Perlis – Langkawi

(Visited 515 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button