Nasional

Pengurusan masjid patuhi arahan PKP

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan pengurusan masjid di negeri Perlis agar sentiasa mematuhi arahan-arahan dan peraturan kerajaan melalui pihak-pihak berkuasa yang berkenaan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Arahan berkaitan penangguhan sebarang aktiviti melibatkan jemaah masjid termasuk program pengimarahan dan pengajian hendaklah dipatuhi bagi menjaga kemaslahatan umat.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis, menurut siaran media yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Baginda yang juga selaku Yang DiPertua MAIPs turut mengingatkan agar pengurusan kesemua 102 kariah masjid di negeri ini terus memainkan peranan sebaik mungkin dalam memberikan bantuan kepada masyarakat yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19.

“Tahniah kepada pengurusan masjid yang sentiasa taat kepada Ulil Amri, dan terima kasih atas kesediaan mereka beserta semua yang membantu untuk turun padang dengan penuh berintegiriti dalam melaksanakan amanah menyantuni masyarakat sepanjang PKP”, titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan semua yang terlibat membantu masyarakat termasuk ahli keluarga mereka masing-masing agar mengambil langkah-langkah yang perlu seperti penjarakan sosial ketika menghulurkan sumbangan, memakai pelindung muka dengan cara yang betul serta menjaga keselamatan dan kebersihan diri dan peralatan.

MAIPs telah mengumumkan 9 inisiatif bagi membantu meringankan beban golongan sasar yang terkesan dengan PKP, dan 3 daripadanya adalah melibatkan pengurusan pihak masjid iaitu, ‘Program Ziarah Dakwah Bil Hal’, agihan sebahagian ‘Bantuan Khas Rangsangan Asnaf COVID-19’ dan ‘Bantuan Kecemasan Masjid MAIPs’.

“Adalah penting untuk semua pihak memberikan kerjasama padu bagi menjayakan segala insiatif MAIPs berhadapan penularan wabak COVID-19, termasuklah pihak Jawatankuasa Kariah, Amil dan para pemimpin masyarakat setempat. Patuhilah arahan semasa yang dikeluarkan oleh MAIPs dan pihak berkuasa bagi melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya” tegas Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi.

Untuk rekod, sepanjang tempoh PKP ekoran penularan pandemik COVID-19, MAIPs telah mengeluarkan beberapa arahan dan garis panduan seperti penangguhan solat jumaat, pemberhentian sementara aktiviti masjid dan surau, arahan seruan azan khas, arahan melaksanakan pembersihan dan nyahkuman di masjid-masjid, pelanjutan tempoh penangguhan aktiviti masjid dan surau, panduan pengurusan jenazah pesakit COVID-19 dan 9 inisiatif bantuan kepada golongan sasar.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button