Pengurusan lebuh raya harap pengambilalihan empat laluan diselesaikan Mac depan
Pengurusan empat pengendali lebuh raya di Lembah Klang berharap kerajaan dapat membuat keputusan berhubung pengambilalihan laluan tersebut selewat-lewatnya hujung Mac depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) Sazally Saidi berkata perbincangan berhubung pengambilalihan itu masih berjalan tanpa sebarang kata putus daripada kerajaan.
“Untuk proses pengambilalihan ini, perbincangan antara pemegang saham lebuh raya dan pihak kerajaan masih berjalan, namun belum ada jawapan lagi (daripada pihak kerajaan) sehingga kini.
“Kita berharap segala hasil perbincangan tersebut dapat dimuktamadkan penghujung Mac tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut Sabtu ini, kepada warga emas di Rumah Sejahtera, Jenjarom, di Kuala Langat hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya Shah Alam (KESAS) Mohammed Shah Samin dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) Mohd Noor Mohd Ali.
Sazally berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan pengambilalihan empat lebuh raya berkenaan iaitu KESAS, SMART, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan SPRINT, seperti yang iumumkan kerajaan tahun lepas.
Kerajaan menerusi Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sebelum ini mengemukakan tawaran pengambilalihan kepentingan empat pengendali lebuh raya itu membabitkan nilai RM6.2 bilion dalam usaha membantu meringankan beban rakyat menerusi pengurangan kadar tol.
Pengambilalihan tersebut melibatkan nilai RM2.47 bilion bagi LITRAK (konsesi LDP), SPRINT (RM1.984 bilion); KESAS (RM1,377 bilion) dan SMART pada nilai RM369 juta.
Dalam perkembangan lain, Sazally berkata pengendali lebuh raya SPRINT, KESAS dan SMART akan menempatkan anggota rondaan di laluan masing-masing bagi membantu dan memudahkan perjalanan pengguna menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini.
“Sememangnya dua dan tiga hari menjelang perayaan akan berlaku kesesakan apabila kenderaan mulai keluar dari bandar untuk pulang ke kampung. Jadi, setiap peronda akan ditempatkan (di lokasi terlibat) untuk membantu melancarkan trafik bagi memudahkan urusan perjalanan pengguna lebuh raya ini.
“Untuk SPRINT, 68 anggota peronda akan ditugaskan, KESAS pula 45 anggota manakala SMART (16 anggota),” katanya. – BERNAMA