TIDAK pernah terfikir untuk bertanya hukum memakan penguin kerana penguin hanya tinggal di Antartika tetapi baru-baru ini seorang individu telah bertanyakan soalan kepada Maktabah Al-Bakri mengenai hukum memakan daging penguin.
Soalan tersebut telah mendapat perhatian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menyatakan daging penguin adalah halal dimakan oleh umat Islam kerana binatang itu termasuk dalam kategori burung air.
Tambahnya, penguin tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan sebagaimana dilarang oleh Nabi Muhammad SAW.
“Comel dan halal. Namun ada sebahagian spesiesnya seperti emperor penguin sedang terancam. Bersama kita lindunginya,” katanya.
Zulkifli turut berkata, pada asasnya, ulama mazhab Syafie berpendapat, semua jenis burung air adalah halal untuk dimakan kecuali burung bangau kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya.
Jelasnya lagi, Imam al-Ghazali ada menyebut bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram.
Melihat diruangan komen, rata-rata netizen terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh Zulkifli dan ada juga yang meluahkan tidak tergamak untuk makan daging penguin.
Dalam pada itu, menurut blog ReadHeadline, terdapat 18 jenis penguin yang dikenal pasti di dunia dengan 13 jenis disahkan semakin pupus dan lima daripadanya dikategorikan sebagai haiwan terancam tahap kritikal. -SM