Penghidap wabak gila kuasa, berhentilah tabur dakyah, menghasut
Darurat demi rakyat
Darurat adalah “keadaan yang mencemaskan, menyusahkan atau menyulitkan, seperti peperangan atau kekurangan makanan, yang biasanya berlaku dengan tiba-tiba atau tanpa dijangka” (Kamus Dewan 1984: 154).
Darurat adalah “keadaan bahaya, kecemasan, krisis, kemelut, kesukaran, kesusahan atau kegentingan yang timbul dengan tidak disangka-sangka dan memerlukan tindakan yang segera” (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan 1995:402).
Darurat adalah “keadaan sukar yang tidak tersangka-sangka yang memerlukan penanggulan [penyelesaian] segera” (Kamus Besar Bahasa Indonesia 1995: 211).
Takrif ini menunjukkan darurat adalah suasana kehidupan yang serba-serbinya susah dan berbahaya akibat ancaman yang menjejaskan nyawa manusia, kehidupan manusia, kemantapan politik negara dan kemakmuran ekonomi negara; seperti yang disedang dialami oleh Malaysia dan rakyat jelatanya, sejak kemunculan wabak Covid-19 pada awal tahun 2020.
Kaedah pengurusan keselamatan secara darurat bergantung kepada corak ancaman dan tahap (intensity) ancamannya. Ancaman ini yang akan menentukan kaedah menanganinya. Darurat pada tahun 1969 ditangani menerusi kaedah Bilik Gerakan, perintah berkurung dan penggubalan pelbagai strategi dan dasar ekonomi dan dasar nation-building.
Ini kerana darurat 1969 dicetuskan oleh keganasan konflik etnik.
Darurat di Kelantan pada tahun 1977, akibat krisis politik, ditangani menerusi PRN bagi menyelesaikan krisis berkenaan, tidak ada curfew, dan tidak ada sekatan jalan raya.
Namun darurat yang sedang kita alami sekarang, akibat wabak Covid-19, adalah darurat wabak yang mengancam nyawa dan boleh merebak liar jika tidak disekat pergerakan rakyat jelata. Wabak ini juga belum mempunyai ubat penawarnya di serata dunia.
Darurat wabak Covid-19 dari sudut keselamatan adalah situasi yang penuh risiko dan bahaya kepada nyawa rakyat Malaysia, kedihupan dan ekonominya, serta yang menggugat kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.
Dari sisi proses pengurusan keselamatan, darurat adalah situasi untuk membolehkan kepimpinan negara isytiharkan sesuatu isu besar menjadi ancaman nyata, perlu ditangani segera, menerusi pendekatan luar biasa.
Pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan kaedah pengurusan keselamatan berasaskan prinsip darurat ini sejak Mac 2020.
Ini dilaksanakan apabila ancaman Covid-19 ditangani menerusi sistem Majlis Keselamatan Negara
(MKN) dan menerusi pendekatan yang lebih terancang, terselaras, fokus, berkesan dan melibatkan semua pemegang taruh keselamatan dan pertahanan negara; serta pelbagai NGO dan sukarelawan hati mulia.
Dari sudut keselamatan, pihak yang perlu dilindungi atau objek yang dikenal pasti sebagai diancam bahaya Covid-19 adalah: nyawa rakyat, kehidupan rakyat, ekonomi rakyat, kestabilan politik, keselamatan nasional, ketenteraman awam dan kemakmuran ekonomi negara.
Langkah pengurusan secara darurat oleh MKN ini telah berjaya memutuskan rantain jangkitan Covid-19 dengan cemerlang sehingga Malaysia mendapat pujian dunia.
Kesan ekonominya pula diatasi menerusi pelbagai rangsangan ekonomi. Namun penularan wabak Covid-19 kebelakangan ini adalah akibat percaturan dan kegilaan kuasa sesetengah pihak, hingga memaksa Kerajaan Negeri Sabah menjalankan PRN.
Hakikat ini menimbulkan dilema. Dilarang adakan PRN, Pentadbiran Muhyuddin akan dituduh tidak demokratik. Bila dilaksanakan PRN, sebilangan besar aktor atau pelaku politik terbabit kelihatan kurang disiplin untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.
Contohnya, PRK DUN Chini, Pahang; dan PRK DUN Slim, Perak; diadakan di zaman ancaman Covid-19. Tapi, tidak mengakibatkan penularan wabak berkenaan.
Mereka yang terlibat patuhi disiplin dan SOP yang dikuatkuasakan SPR. Di Sabah, hakikat ini berbeza dan kita sudah alami akibat serta padahnya. Ini sebabnya selepas PRN Sabah, kes penularan Covid-19 dan jumlah kematian akibat wabak ini menjangkau jumlah yang cukup membimbangkan.
Situasi seperti ini amat dipandang serius oleh Pentadbiran Muhyiddin.
Pertama: Sebab falsafah pengurusan keselamatan Malaysia sejak merdeka sampai sekarang, adalah menguruskan keselamatan meneusi gabungan faktor nyawa dan kehidupan rakyat jelata, dengan faktor kestabilan politik nasional, kemakmuran ekonomi dan perpaduan rakyat.
Kedua: Ancaman kepada nyawa dan kehidupan rakyat ini berjaya ditangani oleh Pentadbiran Muhyiddin sebelum PRN Sabah. Tetapi, keadaan yang kian meruncing dan melibatkan mangsa yang semakin besar jumlahnya, menuntut Kerajaan menyediakan peruntukan kewangan yang lebih besar untuk memerangi Covid-19 dari Perlis sampai ke Sabah.
Ketiga: Hakikat ini memerlukan peruntukan kewangan yang lebih besar dan perlu diluluskan dengan segera. Namun wabak gila kuasa pada ketika ini pula menyebabkan Bajet 2021 yang akan dibawa ke Parlimen tidak lama lagi mungkin ditolak. Pihak yang dijangkiti wabak gila kuasa mahu Parlimen dibubarkan, tanpa mengambil iktibar dari PRN Sabah dan seolah-olah langsung tidak prihatin terhadap situasi darurat yang mengancam nyawa serta kehidupan rakyat di merata negara, jika PRU dilaksana dengan segera.
Keempat: Ini sebabnya Pentadbiran Muhyiddin memerlukan perisytiharan darurat dilaksanakan untuk negara ditadbir menerusi kabinet darurat. Matlamat jangka pendeknya untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat serta memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang liar menular.
Matlamat jangka sederhananya untuk memulihkan kehidupan rakyat dan memulihkan prestasi negara menerusi pelbagai pendekatan pentadbiran, ekonomi dan kewangan.
Matlamat jangka panjangnya untuk memulihkan kestabilan politik, kesejahteraan hidup, kemakmuran negara, pemerintahan berparlimen dan sistem demokrasi.
Namun pengidap wabak gila kuasa mengeksploitasikan hal ini menerusi pelbagai hasutan dan dakyah cybertrooper yang membimbang dan mencemaskan rakyat.
Kelima: Hari ini, Pentadbiran Muhyiddin sentiasa setia kepada Titah serta wisdom Yang di-Pertuan Agong, bahawa buat ketika ini, perintah darurat masih belum diperlukan. Lantas perjuangan menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat yang dalam darurat perlu diteruskan menerusi kaedah pengurusan keselamatan yang lebih kreatif dan berkesan.
Keenam: Diharapkan kelompok pengidap wabak gila kuasa akan tamatkan penaburan dakyah dan hasutan untuk lemahkan keyakinan rakyat jelata. Patuhilah Titah Yang Di-Pertuan Agong supaya berhenti bermain poilitik, dan sokonglah Bajet 2021 demi rakyat yang menderita akibat darurat wabak Covid-19.
Jika nyawa dan kehidupan rakyat yang sedang terancam sekarang dijadikan dadah politik untuk mengubati wabak gila kuasa, rakyat Malaysia perlu menyatukan hati dan jiwa untuk nyahkan mereka dalam PRU15, entah bila ketikanya.
Datuk Dr Ruhanie Ahmad
Penganalisis keselamatan dan mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor 1990-2004