Pengetahuan tentang autisme masih berkurangan – Raja Muda Perlis
Autism atau Gangguan Spektrum Autism (ASD) adalah kekurangan dari segi perkembangan seumur hidup yang kompleks dan mempengaruhi kemahiran sosial seseorang, tingkah laku yang berulang, pertuturan dan komunikasi ‘nonverbal’ serta peraturan diri mereka. Autism bukanlah sesuatu perkara yang baru, namun pengetahuan umum terhadap kelainan ini masih kurang dalam masyarakat kita hari ini.
“Mereka dengan ASD ini, boleh berkomunikasi, berinteraksi dan belajar dengan cara yang berbeza daripada kebanyakan orang lain. Pembelajaran, pemikiran dan kemampuan menyelesaikan masalah bagi mereka yang memiliki ASD boleh disifatkan sebagai suatu ‘bakat’ atau ‘anugerah’ yang dikurniakan dan juga sesuatu situasi yang mencabar. Sebilangan besar penghidap ASD memerlukan lebih pertolongan dalam menjalani kehidupan seharian mereka, dan lantaran itulah juga negeri Perlis juga perlu menubuhkan pusat autism yang lebih bersepadu dan memberi manfaat kepada golongan sasaran ini.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri sambutan ‘Hari Autism Sedunia Peringkat MAIPs’ yang disekalikan dengan program ‘Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 12 Bagi Tahun 2021’ di Masjid Al-Ghufran Padang Lati.
Menyambut keberangkatan tiba baginda dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Pada kesempatan yang sama baginda berharap agar pusat utism bersepadu atau A-HEART Perlis yang dirancang sejak beberapa tahun yang lalu tetapi belum berjaya dilaksanakan oleh pihak Yayasan Tuanku Syed Putra, MAIPs dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAp) akan akhirnya menjadi realiti dan dapat disiapkan fasa awalnya selewat-lewatnya pada tahun 2023 itu akan mampu menyediakan kemudahan dan perkhidmatan untuk diagnostik dan penilaian, pelbagai program rawatan dan pembelajaran mengikut tahap autism meliputi bahagian pentadbiran, pendidikan dan pembelajaran, ruangan terapi, bengkel vokasional, kemahiran terapi artistik, pembelajaran luar kelas serta kemudahan berkaitan komuniti bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka yang memerlukan ini kelak.
Program tersebut turut melibatkan pengurniaan bantuan agihan zakat MAIPs kepada 25 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan yang disempurnakan sendiri oleh baginda selaku Yang DiPertua MAIPs.
Turut diadakan sebelum itu ialah ceramah Islah Ummah yang dikongsikan oleh wakil daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri berjudul ‘Rakyat Perlis Benci Dadah’ selain promosi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Rejimen 504 Askar Wataniah.
Untuk rekod, ‘Hari Kesedaran Autism Sedunia’ adalah hari yang diiktiraf di peringkat antarabangsa pada 2 April setiap tahun yang bertujuan untuk menyebarkan kesedaran dan penerimaan terhadap individu yang mempunyai Autism.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada 160 kanak-kanak mempunyai Autism Spectrum Disorder. Statistik juga menunjukkan bahawa ASD adalah 4.3 kali lebih kerap berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan.