Pengasuh selamatkan bayi dari kebakaran
SEORANG pengasuh menahan asap tebal untuk membawa seorang bayi lelaki berusia tiga bulan menyelamatkan diri apabila lima rumah terbakar berhampiran pintu masuk Kampung Baru di Jalan Raja Muda Musa, di sini malam tadi.
Robiah Abdul Raof, 38, berkata ketika kejadian dia sedang bersama bayi berkenaan apabila ternampak asap di tingkat atas rumah dua tingkat itu.
“Bayi itu ketika itu sedang tidur dan saya segera mengangkat bayi itu untuk melarikan diri dari kebakaran, saya tidak sempat mengambil pakaian atau dokumen pengenalan diri.
“Kebakaran marak (tingkat atas rumah) dan terdapat asap tebal, namun saya nekad menyelamatkan diri dan bayi yang saya jaga sejak tiga bulan lalu. Ketika kejadian, bayi itu ibu bapa sedang bekerja,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Robiah sangat bersyukur kerana berjaya menyelamatkan diri bersama bayi itu.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Rahmat Kamarulzaman berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 8.19 malam, 36 anggota bomba dari Balai Titiwangsa, Sentul, Jalan Tun Razak dan Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian. -SM