Pengarah Filem, Azhari Zain meninggal dunia
PENGARAH filem Botol Kicap dan juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UITM) Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor Azhari Zain, 50, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.00 tengah malam tadi di kediamannya di Sunway Alam Suria setelah sembilan bulan terlantar sakit akibat serangan angin ahmar.
Menurut Berita Harian, pemergian arwah itu disahkan oleh isterinya, Wahizatul Nureen Azmi.
Nureen berkata arwah menghembuskan nafas terakhir di sisinya.
“Sejak seminggu lalu, kesihatan arwah memang sudah merosot dan agak lain. Ternyata Allah lebih sayangkannya,” katanya dalam keadaan sebak.
Jenazah Allahyarham dimandi, dikapankan dan disolatkan di Masjid Ar-Raudhah, Seksyen U10, Shah Alam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Paip, Klang sekitar pukul 10 pagi tadi.
Allahyarham memulakan kerjaya seninya pada 2004. Beliau juga pernah menjadi penulis filem dan drama.
Allahyarham merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Falkulti Filem, Teater Dan Animasi di UiTM meninggalkan seorang isteri dan tiga orang cahaya mata. – SM