Belang Bertempat

Pengapungan harga akan tingkatkan inflasi-Asmawar

BERIKUTAN masalah bekalan bahan makanan utama seperti ayam, telur, beras dan minyak masak, akhirnya kerajaan terpaksa memilih untuk ‘mengapungkan harga’ ke atas barangan berkaitan.

Naib Presiden PUTRA, Dato’ Asmawar Samat berkata, cadangan untuk mengapungkan harga dan subsidi telah bermula sejak sebelum Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan pada 13 Oktober 2023 lalu.

“Terkini, cadangan mengapungkan harga ayam dan telur selepas 30 Oktober 2023 dianggap oleh pihak Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff sebagai tiada lagi kawalan harga dan subsidi sekali gus menyebabkan harga makanan terus meningkat di pasaran tempatan.

“Semasa pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan akan mempertimbang harga ayam dan telur di pasaran diapungkan berdasar harga yang lebih rendah daripada harga apungan pasaran.

“Kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, “Melihat keadaan harga pasaran sekarang, bila harga itu kurang daripada harga siling seperti sekarang dan harga ayam dan telur di Thailand lebih rendah daripada Malaysia maka tiba masanya kita apungkan.”

“Namun begitu, Biro Pertanian PUTRA berpendapat pengapungan harga bermakna kenaikan harga akan melibatkan ‘penggabungan dan penyerapan’ harga barang asas yang diimport dan harga ‘barang barang tempatan’,” kata Asmawar yang juga Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan & Aduan Awam PUTRA dalam kenyataannya.

Beliau berkata, perkara ini akan menjadikan jenama beras keluaran tempatan umpamanya yang telah heboh diperkatakan sebelum ini, akan sukar atau tiada lagi dipasaran.

Katanya lagi, tinjauan pada 19 Oktober  dan 27 Oktober lalu di restoran-restoran di Putrajaya mendapati, mereka sekarang telah menggunakan beras Jasmine Super Import yang harganya naik sebanyak RM10.00 kepada RM44.90 untuk 10 kg sekampit.

“Tiada lagi beras tempatan berharga RM26.00 untuk 10 kg sekampit  yang boleh diperoleh. Ini bermakna kenaikan kos penyediaan makanan nasi meningkat sebanyak 22% adalah satu kenaikan yang agak tinggi.

“Manakala golongan bawahan M40 dan B40 yang biasa membeli beras tempatan akan mengalami kenaikan membayar sebanyak 41% (RM44.90 – RM26.00), satu kenaikan yang tinggi,” ujar beliau.

Tambah beliau, tinjauan juga mendapati harga makanan dan minuman untuk seorang di restoran biasa juga telah meningkat.

“Kalau dulu biasa boleh makan dan minum antara RM7.00 sehingga RM10.00, kini telah meningkat kepada RM13.00 sehingga RM15.00.

“Ini bermakna peningkatan sebanyak 33% telah berlaku. Peningkatan mendadak ini juga melibatkan harga sewa premis perniagaan yang dijangka akan turut meningkat mulai awal tahun 2024,” katanya.

Rata-rata, kata Asmawar, ramai orang menimbulkan persoalan sama ada ‘pengapungan harga’ satu langkah yang praktikal atau tidak?

“Jawabnya sudah jelas tidak sebab sebarang peningkatan pastinya akan memeningkan!

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku lama-lama dan perlu diintervensi segera dengan pengeluaran bahan-bahan makanan asas yang utama dengan banyak dan murah,” jelas beliau.

Belanjawan 2024 menyatakan pengawalan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan diberi tumpuan dan perhatian.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai menyatakan, cabaran global meliputi perang dagang Amerika Syarikat dan China serta negara-negara maju yang mengalami inflasi akan memberi impak kepada ekonomi negara.

“Sehubungan itu, pihak kerajaan perlu memastikan agar rakyat golongan sederhana dan bawahan tidak mengikat perut dan sesak nafas menghadapi inflasi yang bakal melanda.

“Sebarang kelemahan dan kegagalan pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Agensi berkaitan menangani isu yang melibatkan periuk nasi rakyat sudah pasti Kerajaan Madani adalah Kerajaan Retorik bercakap lebih, gagal merancang, tidak tegas dan tewas kepada kartel-kartel yang menjarah darah rakyat.

“Sama-sama kita tunggu sama ada rakyat gembira atau derita selepas pengapungan harga telur dan ayam.

“Kalau harga terus meningkat maka Menteri Pertanian kena turun seperti mana beliau pernah menyerang pemimpin-pemimpin terdahulu untuk letak jawatan,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button