Jenayah

Pengantin baharu maut kemalangan

MELAKA 19 Januari – Seorang pengantin baharu maut dalam kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Lebuh Raya Utara-Selatan di kilometer 196.6 arah Selatan semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Anwarie Azim Rozi, 23, telah melangsungkan perkahwinan 1 Januari lalu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt. Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai mekanik di sebuah syarikat perkapalan di Seremban dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tambak Paya, Melaka.

Menurutnya, sewaktu tiba di tempat kejadian dipercayai motosikal Yamaha Y15ZR yang dinaiki lelaki itu telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Pesona di lorong kedua lebuh raya tersebut hingga menyebabkan mangsa terpelanting di lorong pertama.

Related Articles

“Siasatan awal di tempat kejadian berdasarkan serpihan komponen motosikal yang ditemui, pelanggaran itu dipercayai berlaku di lorong kedua manakala mayat mangsa ditemui terbaring di lorong pertama.

“Pemandu kereta yang terlibat pula seorang lelaki berusia 47 tahun dalam perjalanan dari Selangor menghala ke Ayer Keroh, Melaka,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata, pemandu kereta yang dikenali sebagai Nazri Md. Yusof tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kenderaannya rosak di bahagian bumper dan tayar kanan pecah.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala pemandu kereta Pesona itu pula diminta hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Kes itu disiasat di bawah Sek 41(1) APJ 1987.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button