Jenayah

Penemuan tulang disyaki ada kaitan warga Australia hilang pada 2017

Penemuan tulang manusia dan longgokan pakaian di kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung di George Town, Pulau Pinang dipercayai mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan seorang wanita warga Australia Anna Jenkins pada 2017.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Suffian Santong berkata, objek terbabit ditemui seorang lelaki yang sedang melakukan kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada kira-kira 4 petang, 24 Jun lepas.

“Pengadu telah ternampak longgokan baju yang telah lama ditinggalkan dan pengadu telah membuat pemeriksaan terhadap longgokan baju tersebut serta menjumpai seketul tulang, tidak pasti tulang manusia atau haiwan.

“Pada keesokan harinya, pengadu telah membawa tulang beserta longgokan baju itu ke Balai Polis Kampung Baru untuk membuat laporan polis,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Suffian berkata hasil bedah siasat yang telah dijalankan ke atas objek tersebut mendapati ia adalah tulang manusia.

“Pihak polis sedang menunggu pihak kedutaan untuk menyerahkan sampel DNA ahli keluarga orang hilang tersebut kepada pihak polis bagi ujian perbandingan DNA yang bertujuan mendapatkan identiti sebenar pemilik tulang yang dijumpai itu,” katanya.

Beliau juga berkata polis tidak pernah menghentikan siasatan kes Anna Jenkins dan sebarang petunjuk yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin bagi merungkai misteri kehilangan wanita itu.

Suffian berkata demikian semasa mengulas laporan sebuah portal berita tempatan yang mendakwa mayat wanita itu telah dijumpai.

Pada 13 Dis 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja memesan perkhidmatan Uber untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lancang selepas selesai rawatan.

Wanita itu telah meminta pemandu Uber menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkan mangsa berhampiran sebuah sekolah.

Sejak itu dia dilaporkan hilang dan laporan polis telah dibuat oleh suaminya.-BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button