Pendidikan teknologi satu keperluan – titah Raja Muda Perlis
ARAU 26 Sept. – Dalam era transformasi yang pesat ini, pendidikan dalam teknologi baharu bukan sekadar peluang malah ia adalah satu keperluan. Ia juga merupakan kunci bagi menyediakan peluang dan potensi generasi masa kini dan akan datang, membolehkan mereka menguasai segala kemahiran yang penting untuk pertumbuhan negara kita dan untuk kemahiran kendiri kehidupan individu masing-masing.
Semasa kita mengharungi zaman inovasi ini, adalah penting untuk kita menerima segala kemajuan teknologi, daripada lembaran digital kepada penyelesaian dikuasakan kecerdasan buatan atau kebijaksanaan buatan (AI). Teknologi ini bukan semata-mata ciptaan terkini, ia adalah bahan binaan untuk masa depan yang makmur.
Dengan memahami dan menerima pakai teknologi ini lebih awal, kita akan mampu meletakkan diri kita untuk mencipta perkhidmatan dan produk inovasi, meningkatkan kecekapan tenaga kerja dan mengekalkan daya saing sehingga ke peringkat global. Walau bagaimanapun, dengan kuasa yang besar datang tanggungjawab yang besar. Kita bukan sahaja harus mengiktiraf manfaat kemajuan ini tetapi juga mengambil kira had dan risikonya, memastikan kita menggunakannya dengan bijak untuk kebaikan yang lebih besar.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan majlis Sumbangan MAIPs Peduli di Masjid Muhammadiah, Kampung Guar Gajah, Arau baru-baru ini.
Program itu merupakan acara mingguan yang telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan asnaf yang memerlukan di negeri ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan untuk menyempurkan penyerahan sumbangan daripada MAIPs itu kepada 70 orang Anak Kariah terpilih dari Kg Guar Gajah dan 70 orang lagi daripada kalangan anak kariah Kg. Gial.
Setiap penerima bukan sahaja menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700setiap seorang, malah mereka berpeluang untuk menyaring kesihatan secara percuma. Penerima juga dikongsikan dengan ceramah ‘jauhi najis dadah’ daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ oleh pihak MAIPs.