Pendidikan penting lahirkan insan dinamik – Raja Muda Perlis
PENDIDIKAN adalah wadah penting dalam menjana anjakan paradigma setiap individu di samping memainkan peranan penting dalam melahirkan insan yang dinamik dalam semua aspek kehidupan.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ibu bapa atau penjaga, guru-guru dan masyarakat berperanan dalam memberi teladan kepada anak-anak supaya mereka dapat menyesuaikan dan mempersembahkan diri mereka berdasarkan kepada nilai-nilai murni yang telah diterapkan.
Baginda bertitah, penerapan nilai murni seperti berdisiplin, bertimbang rasa, bertanggungjawab, dan rasional amat penting dalam proses pembentukan jati diri.
Secara tidak langsung, nilai-nilai ini akan membentuk jati diri dan akhlak mulia seseorang individu.
“Saya amat berharap supaya akan lahir lebih ramai generasi muda yang berketerampilan yang berupaya menjadi individu yang dikagumi”, titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Kem Jati Diri Untuk Pelajar-Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis yang berlangsung di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah di Bukit Keteri.
Keberangkatan tiba Baginda hang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasihi Laiji.
Turut hadir Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Kem ini dianjurkan YTSP Perlis dan ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, MAIPs dan Rejimen 504 Askar Wataniah.
Seramai 59 peserta terdiri daripada para pelajar perempuan terpilih dari sekolah-sekolah di sekitar negeri Perlis yang diiringi 10 orang guru pengiring telah terlibat bermula dari 21 hingga 23 November lalu.
Objektif kem ini dilaksanakan adalah untuk mewujudkan jalinan rapat antara Raja dan para peserta, membimbing peserta agar dapat memiliki nilai murni dan jati diri yang utuh.
Kem ini juga bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berdisiplin, memupuk semangat kekitaan, bersemangat patriotik, cintakan negara dan juga pendedahan terhadap isu-isu semasa. – SM
BACA Aktiviti kokurikulum bina kemahiran insaniah pelajar – Raja Muda Perlis