Pendidikan awal penting untuk bentuk keyakinan diri – Pemangku Raja Perlis
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Pendidikan awal kanak-kanak adalah penting dalam memupuk keyakinan diri mereka di mana mereka akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang boleh membantu mereka mengenali potensi diri mereka.’
Baginda bertitah, ‘Pendidikan awal yang berkualiti membantu kanak-kanak memahami asas-asas literasi dengan lebih baik, dan seterusnya membina minat yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan. Keyakinan diri yang diperolehi akan menjadi pemangkin untuk mereka menghadapi cabaran serta memupuk semangat kepimpinan diri di masa hadapan.’
“Pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti mampu membuka ruang dan peluang yang luas kepada mereka untuk mendapatkan masa hadapan yang lebih cerah. Kanak-kanak bukan sahaja dapat mempelajari mata pelajaran yang diajar di tadika-tadika, bahkan dapat menarik minat mereka untuk mendekati bidang seperti biologi, fizik dan juga astronomi kelak”, titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis ‘Penyampaian Biasiswa Smart Reader Kids – One Child One Hope (OCOH) Kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis 2024’ yang berlangsung di Dewan Orkid, Tasoh Lake Resort by Tasoh TasikKu, Kaki Bukit hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Smart Reader Worldwide Sdn Bhd Datuk Sri Richard Ong serta Pengarahnya Datuk Kevan Ong dan Keefe Ong serta Setiausaha Kehormat YTSP Perlis Datuk Johari Darus.
Majlis ini telah dianjurkan oleh Smart Reader Worldwide Sdn Bhd dengan kerjasama YTSP Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Datuk Sri Richard dalam ucapannya menyatakan, penubuhan program biasiswa “Seorang Anak Sebesar Harapan” atau One Child One Hope merupakan inisiatif daripada Smart Reader®️ Worldwide untuk memastikan kanak-kanak di dalam negara ini mendapatkan pendidikan awal yang sewajarnya. Tujuan utama penubuhan program biasiswa ini adalah untuk memberikan peluang pendidikan yang berkualiti kepada lebih ramai kanak-kanak, terutamanya yang berada dalam komuniti yang mungkin kurang berkemampuan.
“Kami di Smart Reader®️ Worldwide amat berbesar hati dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat Perlis sejak tahun 2008 lagi dengan memberikan peluang dalam bidang pendidikan. Langkah ini menunjukkan komitmen kami dalam memperluaskan akses komuniti kepada pendidikan berkualiti serta memberikan sokongan kepada warga setempat untuk memenuhi impian dan potensi setiap kanak-kanak”, ujarnya lagi.
Beliau juga berharap agar biasiswa ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang dalam membantu kanak-kanak di negeri Perlis terutamanya golongan yang kurang berkemampuan dalam mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan seterusnya menjadi pelajar kebanggaan negeri Perlis.
Tuanku Pemangku Raja Perlis berkenan untuk menyempurnakan perasmian majlis tersebut dan mewakili YTSP Perlis untuk menerima persembahan biasiswa ‘Seorang Anak Sebesar Harapan’ yang bernilai RM 60,000 dari Datuk Sri Richard Ong.
Baginda turut berkenan untuk menyempurnakan pengurniaan Smart Reader Kids ‘Book Package’ yang bernilai RM250 setiap seorang kepada 10 orang penerima.
Majlis yang dihadiri oleh pimpinan tertinggi Smart Reader Sdn Bhd, tenaga pengajar dan pengurusan Smart Reader Perlis dan ibu bapa pelajar diserikan lagi dengan persembahan tarian dan nyanyian daripada pelajar Smart Reader Kids, Taman Sri Bahagia, Kangar.
GALERI