Agama

Pendekatan Islam di Perlis hendaklah bebas daripada unsur perkauman, permusuhan – Raja Perlis

Amalan membaca dan menghafaz Al-Quran perlu dijadikan rutin dalam kehidupan seharian oleh semua rakyat yang menetap dan bekerja di Perlis serta hendaklah juga memahami pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah berdasarkan dalil yang sahih daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.

Dalam melaksanakan ibadah seharian, pegangan di Perlis adalah tidak taksub kepada mana-mana mazhab fikah tetapi sentiasa berusaha menepati Al-Quran dan Al-Sunnah.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, masyarakat hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam mengukuh dan memperteguhkan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti yang termaktub dalam Al-Quran dan Al-Sunnah Rasulullah S.A.W.

“Pegangan Islam di dalam Negeri Perlis ini juga adalah harmoni untuk semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama di mana Islam yang diajar di dalam Negeri Perlis hendaklah bersifat universal yang kebaikan dan rahmatnya merangkumi semua kaum dan agama.”

Titah baginda lagi, pendekatan Islam yang diajar di masjid-masjid, sekolah-sekolah dan kepada rakyat jelata hendaklah bebas daripada unsur perkauman dan permusuhan di antara rakyat disebabkan perbezaan kaum dan agama.

Related Articles

Sehubungan dengan itu, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis dan Agensi-agensi agama di dalam Negeri Perlis hendaklah diperkasakan agar dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan agensi-agensi lain di Negeri Perlis ini.

Baginda bertitah pada Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perlis di Dewan Warisan, Kangar, semalam.

Pada majlis ini, Johan Qari bagi Tilawah Al-Quran disandang oleh Khalil Khusairi Zainol, manakala Johan Qariah disandang oleh Siti Aishah Md Arif, dimana kedua-dua peserta bakal mewakili negeri Perlis ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada bulan Jun nanti di Johor.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dipetik dari RTM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button