Ekonomi

Pendekatan holistik, efektif pemangkin pertumbuhan ekonomi negara

Pemulihan ekonomi negara boleh dicapai tanpa perlu mengambil masa sehingga 15 tahun menerusi rancangan ekonomi bersifat holistik dan efektif dengan memberi penekanan khusus kepada sektor yang dapat memangkin pertumbuhannya.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, rancangan pemulihan itu perlu mengambil kira segala aspek pembangunan ekonomi seperti penggunaan, pelaburan asing serta aktviti import dan eksport.

Jelas beliau, pembukaan sektor ekonomi setelah negara mencapai imuniti kelompok juga menjadi kunci utama kepada pemulihan ekonomi negara.

“Disebabkan itu, kita harus optimis dengan usaha kerajaan untuk memastikan rakyat mendapat perlindungan melalui suntikan vaksin seterusnya memungkinkan ekonomi  dibuka dengan kapasiti lebih besar.

“Pada masa sama, rakyat boleh memanfaatkan segala pakej bantuan seperti subsidi upah, latihan kemahiran dan pembangunan digitalisasi peniaga yang memangkin kepada pemulihan ekonomi lebih stabil dan lebih awal dari yang dijangkakan,”  lapor Utusan Malaysia.

Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beberapa generasi kepemimpinan negara mungkin perlu mewarisi masalah kebejatan ekonomi yang melanda negara akibat serangan Covid-19 berikutan pemulihannya dijangka mengambil masa sehingga 15 tahun.

Sementara itu, Abdul Rais turut bersetuju yang mana proses pemulihan ekonomi negara bergantung kepada keyakinan pelabur asing  bersandarkan kepada jaminan situasi dan tahap keselamatan di dalam negara.

Sehubungan itu, jelasnya, di samping fokus untuk memulihkan ekonomi, wujud keadaan mendesak memastikan kestabilan politik dalam menjamin proses pemulihan ekonomi yang lebih mapan dan berdaya saing.

“Keyakinan pelabur juga bukan hanya bersandarkan kepada keselamatan kesihatan negara semata-mata tetapi terhadap kestabilan politik terutamanya keputusan yang diambil oleh kerajaan untuk berhadapan dengan keadaan sukar,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button