Pemuda UMNO tempelak Pemuda Bersatu jangan melampau
KETUA Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menempelak Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar tidak melampau.
Asyraf Wadji turut memberi ingatan kepada Wan Ahmad Fayhsal agar bersikap bersahabat serta bersikap jujur dan ikhlas.
Ingatan itu dibuat Asyraf Wadji berikutan kenyataan Wan Ahmad Fayhsal yang mendabik dada seolah-olah kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak disumbangkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurut Asyraf Wajdi, demi rakyat UMNO dan BN yang mempunyai 43 Ahli Parlimen berjiwa besar dengan berkorban kepada Bersatu ketika mahu menyelamatkan Kerajaan Persekutuan.
Malah di Perak, UMNO dan BN yang mempunyai 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkorban kepada Bersatu yang hanya mempunyai empat ADUN dengan menyerahkan jawatan Menteri Besar Perak kepada parti itu.
Sewaktu menubuhkan Kerajaan Sabah, UMNO-BN dengan kerusi terbesar 14 ADUN sekali lagi mengalah kepada PPBM yang hanya mempunyai 11 kerusi untuk mengangkat calon parti itu sebagai Ketua Menteri.
“Justeru jangan melampau! Ahli-ahli UMNO juga ada maruah. Tidak selamanya juga kami boleh mengalah. Nasihat saya bersahabat dan berpakat mesti jujur dan ikhlas.
“Biarpun tidak diharap sebarang penghargaan mahupun pujian, saya tetap tabik hormat kepada seluruh jentera UMNO-BN di akar umbi yang bekerja keras bukan sahaja di kawasan BN bertanding bahkan turut membantu memenangkan calon-calon Bersatu atas bendera Perikatan Nasional di kawasan-kawasan yang hakikatnya menjadi tradisi kubu kuat UMNO-BN hampir 30 tahun,” tegas Asyraf Wajdi.
Dalam hantaran di Facebooknya, Wan Ahmad Fayhsal berkata, PN terbukti mempunyai kekuatan tersendiri pada PRN Sabah biarpun baru berusia setahun jagung.
“Perikatan Nasional” tidak dibebani dengan isu legasi, “trust deficit” kerana ianya masih baru dan segar. Kekuatannya banyak terkumpul pada YAB Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kita tahu tidak ponggah, tidak angkuh dan amat meraikan kerjasama asalkan matlamat utama dalam menubuhkan kerajaan yang kuat, berintegriti dan beramanah itu tercapai.