pilihanPolitik

Pemuda UMNO buat kaji selidik cari punca kalah teruk di PRN

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan membuat kaji selidik berhubung prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos lalu.

Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha yang dilakukan Pemuda itu adalah untuk mengenal pasti masalah sebenarnya mengapa rakyat termasuk pengundi BN sendiri tidak mengundi parti itu pada PRN yang lepas.

Menurutnya, kaji selidik yang akan dilakukan bermula esok secara atas talian akan dibuka kepada seluruh pengundi dan rakyat bagi memberi pendapat masing-masing punca dan apa yang perlu dilakukan oleh parti untuk kembali mendapat kepercayaan rakyat.

Beliau berkata, hasil daripada dapatan kaji selidik itu akan dikumpulkan dan dibentangkan pada mesyuarat Biro Politik UMNO supaya tindakan sewajarnya perlu diambil.

“Sudah tentunya ini penting bukan sahaja untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tetapi yang lebih penting adalah untuk survival UMNO itu sendiri.

“Saya mengambil tanggungjawab agar UMNO terus boleh survival pada masa akan datang bukan sahaja untuk PRU16 tetapi juga PRU17, PRU18 dan seterusnya.

“Benda basic kalau menang atau kalah kita kena buat kaji selidik. Kesalahan mesti dibaiki, mesti ada kesalahan di mana-mana pihak sekalipun. Kesalahan ini mesti diperbaiki segera,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Program
Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Luar Bandar di Mini Stadium Bistari, Ayer Keroh di sini hari ini.

Muhamad Akmal berkata, kaji selidik yang akan dilakukan itu bukan bertujuan untuk mencari salah sesiapa tetapi lebih penting untuk mencari punca masalah dan punca penyelesaian sebelum parti mengambil langkah tertentu.

Menurutnya, Pemuda turut akan mendapat pendapat dari pihak media selain melantik firma tinjauan pendapat awam bagi melaksanakan kaji selidik tersebut.

“Seandainya dapat keputusan yang sama ini adalah cerita sebenarnya dan kalau dapatan itu ada yang tidak sama kita boleh berbincang kerana UMNO ini parti keluarga,” ujarnya.

Berkaitan post mortem pula katanya, hasil dapatan daripada keputusan yang dibuat Pemuda itu tidak akan didedahkan kepada pihak luar sebaliknya ia adalah untuk peringkat dalaman parti sahaja.

Dalam pada itu Muhamad Akmal bersetuju dengan pandangan Presiden BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui gabungan itu sedang menghadapi penolakan rakyat khususnya orang Melayu ekoran prestasi buruk PRN lalu.

Presiden UMNO itu berkata, ia memberi gambaran tidak sihat dan keadaan tersebut menuntut BN supaya bergerak lebih agresif untuk membina semula keyakinan mereka. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button