Rencah Hidup

Pemuda (Ajim) pura-pura jadi OKU nak parkir kereta

Kenapa padam rakaman video di TikTok?

SENATOR Datuk Ras Adiba Radzi yang juga Presiden OKU Sentral amat tidak senang dengan perbuatan dua orang pemuda yang mempersendakan orang kurang upaya baru-baru ini.

Perbuatan tidak beradap itu dilakukan oleh dua pemuda berkenaan di pusat membeli-belah dan dirakamkan ketika mereka menggunakan parkir khas bagi golongan OKU di lokasi berkenaan dan ditularkan di TikTok.

Oleh itu, Ras Adiba menuntut kedua-dua pemuda berkenaan membuat permohonan maaf kepada komuniti OKU di seluruh negara.

“Tindakan mereka yang berpura-pura menjadi OKU dan menceroboh kemudahan dikhaskan itu telah mempersendakan golongan istimewa terbabit.

“Kalian semua telah mempersendakan dengan menggunakan parkir OKU dan berlakon seperti seorang OKU. Saya mohon supaya kalian berdua meminta maaf pada kesemua komuniti OKU di negara kita,”tegas Ras Adiba.

Kata Ras Adiba lagi, “sudahlah kami susah, orang semua selalu pandang rendah terhadap kami. Orang semua menggunakan kemudahan yang disediakan dan dikhaskan untuk kami pula.

“Kita semua akan menjadi OKU suatu hari nanti. Jangan sesekali kalian mempermain dan mempersendakan kami. Sila mohon maaf kepada komuniti OKU.”

Kenyataan Ras Adiba itu dapat ditonton menerusi rakaman video di Instagram (IG)nya.

Untuk makluman, hari ini tular sebuah rakaman video yang menunjukkan seorang pemuda berlakon berpura-pura menjadi OKU semata-mata mahu meletakkan kenderaannya di parkir yang dikhaskan untuk golongan OKU di sebuah pusat membeli-belah.

Dalam video berdurasi 37 saat itu, pemuda yang dikenali sebagai Ajim, berjalan seumpama individu tidak normal dan melakukan pergerakan tangan dan kaki seperti orang cacat.

Seorang lagi pemuda yang merupakan rakan Ajim mendakwa, mereka berada di pusat membeli-belah terkenal di ibu kota dan dikatakan sukar untuk memakir kereta.

“Nak parking susah tapi Ajim cakap, kalau nak parking ada satu cara. Betul-betul dapat parking tapi cara dia pelik sikitlah.

“Betul-betul dia jadi cacat. Ini kalau kantoi dengan pak guard memang mati tapi dapat parking. Tengok kereta hitam aku ni, betul-betul dapat parking. Terima kasih Ajim.

“Lepas ni kalau aku naik KL (Kuala Lumpur), aku dah tahu dah. Bawa Ajim memang selamat,” kata rakan Ajim.

Perbuatan kurang bijak Ajim dan rakannya itu yang dirakam bagaimanapun telah dipadam selepas mereka menerima kecaman netizen yang menyifatkan perbuatan tersebut seperti menghina OKU.

Ajim dan rakan sekongkolnya umpama baling batu, sembunyi tangan. Berani buat, tak berani tanggung. Kalau ada akal, otak jangan letak di kepala lutut. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button