Politik

Pemimpin Melayu perlu sahut cabaran Ramasamy

KUALA LUMPUR – Kenyataan terbaharu pemimpin DAP, P. Ramasamy bahawa mustahil akan wujud kuasa ketiga yang bakal mengubah kepemimpinan negara mungkin boleh disifatkan sebagai ‘takut kepada bayang-bayang sendiri’.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa UMNO dan sekutu pembangkangnya boleh lahir sebagai kuasa ketiga di negara ini.

Ramasamy dengan ‘angkuh’ tetap yakin kuasa ketiga yang dipercayai turut melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak mampu menewaskan  persetujuan Pakatan Harapan (PH) bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih tampuk kepemimpinan kerajaan walaupun tarikh dan ketikanya masih tidak dapat dipastikan.

Ramasamy juga berkata, isu peralihan kepemimpinan kerajaan adalah tertakluk kepada keputusan parti komponen PH.

Hakikatnya, ‘kuasa ketiga’ tersebut hanya menunggu masa sesuai untuk direalisasikan.

Sebenarnya apa yang ditakuti oleh Ramasamy ini  bukanlah sukar untuk dilakukan oleh orang Melayu – UMNO dan Pas telah membuktikannya.

Walaupun dianggap ‘musuh sepanjang zaman’ namun demi menjaga kepentingan agama dan masa depan anak watan, perseteruan yang berlaku sekian lama mampu sahaja diketepikan.

Dalam bahasa mudah, bukan mustahil untuk pemimpin-pemimpin bangsa ini bersatu jika DAP berterusan menghina agama Islam dan sengaja mencarik maruah orang Melayu di negara ini.

Percayalah, di sebalik momokan politik, mereka masih sedar bahawa hanya penyatuan mampu menyelamatkan kedaulatan tanah air tercinta.

Ramasamy wajar menjadikan pengalaman menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 sebagai pedoman – tanpa Dr. Mahathir yang menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak mungkin Barisan Nasional mampu dikalahkan.

Justeru, anggapan Ramasamy sebagai ‘suara’ kerajaan bahawa pembangkang terus tidak bersependapat dalam banyak perkara, dilihat sekadar sandiwara politik yang telah lapuk.

Kenyataannya bahawa fenomena lompat parti dalam kalangan wakil rakyat UMNO ke Bersatu sudah berakhir,  mungkin sekadar mahu menyedapkan hati sendiri.

Tidak perlulah beliau bertanya daripada manakah Ahmad Zahid yang bertindak sebagai ketua pembangkang, mencukupkan bilangan kerusi Parlimen UMNO dan sekutunya.

Malah kenyataannya bahawa; “Zahid sepatutnya tidak bercakap tentang pembentukan kuasa ketiga, tetapi tentang perpecahan dalam kalangan ahli UMNO dan pembangkang umumnya” seolah-olah cuba melarikan diri daripada berdepan dengan masalah dalaman parti dan kepemimpinan PH sendiri.

Sedarlah Ramasamy kerana tiada apa yang mustahil untuk dikotakan dalam dunia politik.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button