Politik

Pemimpin bernafsu politik wang bawa barah dalam sistem politik negara

Di sebalik belantara politik, ada satu hal yang kerap menjadi duri dalam daging bagi kebanyakan pemimpin – Politik Wang.

Mencari pemimpin yang bebas dari jerat politik wang ibarat mencari mutiara di dasar lautan; memerlukan keberanian, ketabahan dan kecekalan.

Politik wang adalah satu barah dalam sistem politik negara kita. Selama ada pemberi dan penerima rasuah, rasuah akan terus berkembang.

Pihak yang paling merosakkan adalah pemberi rasuah, kerana mereka memudaratkan sistem dengan menjadi dalang unsur korupsi.

Mencari pemimpin yang mampu menentukan sikapnya tanpa dipengaruhi oleh aspirasi wang sememangnya sukar.

Apatah lagi di zaman kini, dimana wang kerap kali digunakan sebagai kayu pengukur bagi seseorang untuk mendapatkan kekuasaan atau pengaruh.

Berpegang teguh kepada prinsip dan berani bersuara untuk apa yang benar tanpa takut kehilangan sokongan atau kedudukan merupakan ciri-ciri pemimpin yang amat sukar didapati hari ini.

Sayangnya, kini politik tidak lagi dianggap sebagai perjuangan tetapi sebagai platform mudah untuk mengecapi kekayaan, terutama bagi mereka yang berada dalam tampuk pemerintahan.

Kita harus berwaspada dan tidak tertipu dengan pemimpin yang pandai memainkan peranan, yang lantang membantah dan mempertikaikan isu wang dalam politik, namun di belakang tabir, mereka sendiri mungkin sebenarnya adalah dalang utama.

Mereka ini sanggup melakukan apa saja untuk memegang jawatan hingga ada yang sanggup mengorbankan maruah dan prinsip demi mengejar kemasyuran dan kedudukan.

Jadi, apa sebenarnya yang rakyat perlu lakukan?

Kita sebagai rakyat, perlu bijak memilih dan mendukung pemimpin yang berintegriti serta mempunyai prinsip.

Hanya dengan memilih pemimpin yang berkredibiliti dan berani menentang politik wang, barulah kita dapat mengharapkan perubahan yang signifikan dalam landskap politik negara kita.

Bagi mewujudkan perubahan ini, pendidikan politik perlu diterapkan ke dalam sistem pendidikan kita.

Ini penting bagi membentuk dan mendidik generasi baru agar memahami bahawa politik bukanlah platform untuk mengejar kekayaan, tetapi asasnya adalah untuk memajukan masyarakat dan negara.

Pemimpin masa depan harus dibekalkan dengan pemahaman ini bagi memupuk nilai integriti, ketelusan, dan kesaksamaan.

Dengan pemahaman yang betul tentang politik disulami kepemimpinan yang berintegriti, kita boleh berharap untuk mengubah budaya politik demi membina masa depan yang lebih baik.

Sebagai rakyat, kita memiliki kuasa untuk menentukan hala tuju negara. Jangan kita biarkan politik wang menodai dan merosakkan sistem politik kita.

Tidak kira seberat mana cabarannya, kita mesti berjuang untuk menjaga ketelusan dan keadilan dalam politik. Seperti pepatah peribahasa lama, “Berani kerana benar, takut kerana salah”.

Tidak ada yang mudah dalam perjuangan, tetapi dengan usaha dan dedikasi, kita boleh mengubah cara politik berfungsi dan mengembalikan nilai integriti ke dalam sistem kita.

Politik harus kembali kepada asalnya, sebagai platform untuk memperjuangkan suara rakyat, bukan alat untuk memperkayakan diri atau kroni.

Oleh: Mahathir Hj Mohd Rais, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button