Pemeriksaan lebih ketat di 13 sekatan jalan raya di KL, Putrajaya
PEMERIKSAAN lebih ketat dan teliti akan dilakukan di 13 sekatan jalan raya sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat bermula esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata, jumlah sekatan tidak akan ditambah setakat ini.
“Jumlah sekatan jalan raya kekal sembilan lokasi di Kuala Lumpur dan empat lokasi di Putrajaya, namun kami akan melakukan pemeriksaan teliti di setiap sekatan itu selaras arahan baharu memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP,” katanya pada pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, sebelum ini polis ada memberi kelonggaran dan pemeriksaan mungkin tidak begitu ketat.
Tetapi kali ini katanya, pemeriksaan akan dilakukan dengan teliti termasuk memastikan individu diperiksa mempunyai surat kebenaran.
Kerajaan pada Jumaat lalu mengumumkan untuk mengetatkan SOP PKP dengan kebanyakan aktiviti perniagaan hanya dibenarkan daripada pukul8 pagi pukul 8 malam saja mulai esok, selain pemeriksaan sekatan jalan raya lebih ketat selepas pukul 8 malam.
“Polis juga akan bantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung isu agihan keperluan makanan kepada penduduk.
“Kami berharap warga Kuala Lumpur mengambil berat pematuhan SOP supaya tiada lagi kawasan dalam ibu negara dikenakan PKPD,” katanya. – SM